Kota Kinabalu: Sebanyak 49 kampung di daerah Beaufort dan Tenom terjejas akibat banjir susulan hujan lebat berterusan sejak petang Isnin lalu hingga tengah malam hari yang sama.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memberitahu sebanyak 36 kampung terjejas di Beaufort dan 13 kampung terjejas di Tenom akibat bencana itu.
“Hujan yang lebat bermula pada petang semalam dianggarkan pada jam 1.30 petang sehingga tengah malam menyebabkan paras air Sungai Padas dan Sungai Pegalan meningkat.
“(Bagaimanapun) keadaan cuaca di daerah Beaufort pagi ini cerah, manakala di Tenom mendung,” menurut kenyataan itu pada Selasa.
Menurut kenyataan itu tiada pusat pemindahan dibuka di Beaufort setakat pagi Selasa bagaimanapun, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tenom.
Selain itu, lima jalan utama di Beaufort terjejas iaitu Jalan Simpang 4 Chan Furniture yang tidak boleh dilalui semua jenis kenderaan serta Jalan Kampung Binunuk, Jalan Kampung Balibata, Jalan Kampung Laboi dan Jalan Kampung Suasa hanya boleh dilalui kenderaan berat.
Sementara itu, Jabatan Kerja Raya Sabah dalam kenyataan berasingan memberitahu terdapat kejadian jalan runtuh di KM36.2 Jalan Tenom Kuala Tomani di daerah Tenom ekoran hujan lebat dan banjir di daerah tersebut.
Banjir di Kg Luagan.
“Jalan tersebut tidak boleh dilalui, sehubungan itu pengguna jalan raya dinasihatkan menggunakan jalan alternatif iaitu Jalan Kuala Tomani Marais, Jalan Kalibatang Baru dan Jalan Marais.
“Sebagai langkah keselamatan, penutupan jalan dan Pelan Pengurusan Trafik (TMP) telah dilakukan,” katanya.
Sementara itu, tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Tenom bagi menempatkan seramai 100 mangsa daripada 31 keluarga, yang terjejas akibat banjir berikutan hujan lebat berterusan Isnin lalu.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan, PPS yang beroperasi ialah Dewan Jinuim Jimin menempatkan 35 mangsa daripada 10 keluarga; manakala seramai 33 mangsa daripada 13 keluarga berlindung di Dewan Ptongan Saga setakat petang Selasa.
Satu lagi PPS dibuka di Sekolah Kebangsaan Mandalom Lama, bagi menempatkan seramai 32 mangsa daripada lapan keluarga.
Banjir di Kg Bingkul.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Tenom juga telah mengisytiharkan bencana banjir di daerah berkenaan pada pukul 7 pagi Selasa, berikutan terdapat beberapa kampung dalam kawasan Dewan Undangan Negeri Melalap dinaiki air.
“PPS telah diaktifkan bagi menempatkan mangsa-mangsa banjir terlibat. Proses pemindahan mangsa masih lagi dijalankan oleh pihak penyelamat,” menurut kenyataan itu.
Tenom merupakan sebuah daerah di pendalaman Sabah berkeluasan 2,238 kilometer persegi dan terletak kira-kira 150 kilometer arah Selatan dari Kota Kinabalu.