Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 23 tahun didakwa atas tiga pertuduhan merogol seorang wanita serta memasukkan jarinya ke dalam kemaluan dan dubur wanita itu.
Stellee Kintoh dibawa ke hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, untuk menghadapi pertuduhan terhadapnya pada Selasa.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Stellee sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.
Bagi pertuduhan pertama, Stelle didakwa merogol wanita berusia 21 tahun itu sambil menimbulkan ketakutannya pada pukul 7 pagi 12 April tahun ini di dapur sebuah rumah di Kg Radu, Kota Marudu.
Kesalahan di bawah Seksyen 376(2(b) Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, dia didakwa memasukkan jari telunjuknya ke dalam dubur wanita sama di tempat dan pada masa yang sama.
Atas kesalahan itu, Stellee boleh dihukum penjara antara lima dan 10 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan ketiga, dia didakwa memasukkan empat jarinya ke dalam kemaluan wanita itu di tempat dan pada masa yang sama.
Kesalahan di bawah Seksyen 377CA Kanun Keseksaan itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Jun ini untuk sebutan dan memerintahkan Stellee direman lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin membantah ikat jamin untuk Stellee atas alasan ia merupakan kesalahan serius.
Stellee, yang tidak diwakili, memberitahu mahkamah bahawa dia tidak mempunyai apa-apa untuk dikatakan, menambah tiada seorang pun ahli keluarganya hadir di mahkamah.
Menjawab soalan daripada mahkamah, Stellee berkata dia tidak pasti sama ada keluarganya tahu mengenai kesnya.
Mahkamah meminta pihak pendakwaan untuk memberitahu Pegawai Penyiasat kes itu untuk memaklumkan ahli keluarga Stellee mengenai kesnya.
Semasa prosiding, Stellee dimaklumkan oleh mahkamah bahawa dia juga dinasihat untuk mendapatkan peguam jika dia mahu.