Kota Kinabalu: Kes jangkitan baharu Covid-19 di Sabah meningkat kepada 57 pada Rabu berbanding 39 hari sebelumnya, dengan jangkitan sporadik kekal tinggi pada 63 peratus, kata Jurucakap Covid-19 Sabah Datuk Seri Masidi Manjun.
“Risiko penularan masih tinggi. Seperti yang diramalkan lebih awal, jumlah kes harian akan meningkat semasa/selepas perayaan Aidilfitri dan Kaamatan.
“Orang ramai diingatkan supaya berhati-hati dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ketika menyambut perayaan terutama dalam suasana yang melibatkan ramai orang,” katanya dalam kenyataan di sini, Rabu.
Tiada kematian atau kluster baru dikenal pasti.
Masidi berkata Kota Kinabalu mendahului senarai dengan 18 kes, diikuti Tuaran (7), Penampang (4), Sandakan (4), Lahad Datu (3) dan Putatan (3).
“Secara keseluruhannya, lebih banyak daerah mencatatkan peningkatan berbanding daerah mencatatkan penurunan. 10 daerah tidak mencatatkan kes baharu,” tambahnya.
Beliau berkata majoriti kes adalah ringan, dengan 54 daripada 57 adalah kategori satu dan dua jangkitan, manakala dua dalam kategori empat dan satu dalam kategori lima. Tiada jangkitan dalam kategori tiga.
Mengenai program imunisasi Sabah, 3,239 individu mengambil vaksin mereka pada 10 Mei, di mana 1,199 adalah dewasa, 149 adalah remaja dan 1,891 adalah kanak-kanak.