Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 63 tahun didakwa melakukan gangguan seksual fizikal terhadap seorang pelajar.
Tiada pengakuan direkodkan daripada Salim Wagiu selepas pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, sementara menunggu laporan kimia dan perubatan.
Salim didakwa melakukan kesalahan itu terhadap remaja perempuan berusia 14 tahun 10 bulan itu dengan memegang tangan kanan dan meraba payudaranya pada jam 1.30 tengah hari 4 April tahun ini, di dalam sebuah kereta di sepanjang Jalan Kg Kerongkom ke Kg Bundusan di Kota Marudu.
Kesalahan mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah menetapkan 14 Jun untuk sebutan dan membebaskan Salim dengan ikat jamin RM15,000 berdeposit RM10,000 serta dua penjamin tempatan.
Mahkamah turut mengenakan beberapa syarat tambahan iaitu, Salim tidak dibenarkan memasuki kampung di mana mangsa tinggal, tidak mengganggu saksi pendakwaan, melapor diri di balai polis Kota Marudu sebulan sekali, dan pasportnya, jika ada, diserahkan kepada mahkamah.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Tham Pou Jin membantah ikat jamin untuk Salim disebabkan risiko dia mengganggu saksi pendakwaan, terutamanya mangsa.
Tham memberitahu mahkamah bahawa Salim mengenali mangsa kerana dia yang bertanggungjawab (pemandu sewa) menghantarnya ke sekolah.
Tambahnya, walaupun Salim dan mangsa tinggal di kampung berbeza tetapi jaraknya sangat dekat antara satu sama lain.
Bagaimanapun, peguam Bernard J. Dalinting yang mewakili Salim bagi permohonan ikat jamin, memohon jaminan minimum dibenarkan dengan mengatakan Salim mempunyai dua isteri dan lapan anak untuk dijaga.
Bernard memberitahu mahkamah bahawa semasa siasatan, Salim telah memberikan kerjasama penuh kepada polis.