LABUAN: Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Dr Joachim Gunsalam mencadangkan Asian Supply Base Sdn Bhd (ASB), syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Sabah yang beroperasi di sini, untuk mengembangkan operasinya ke Sabah.
Beliau yang juga Menteri Pembangunan Perindustrian membuat cadangan itu semasa lawatan kerja ke syarikat tersebut di kawasan Perindustrian Ranca-Ranca, di sini, Sabtu.
Kunjungan tersebut dibuat sempena lawatan kerja tiga hari beliau ke pulau ini.
Ketibaan Dr Joachim bersama rombongan disambut oleh Pengerusi ASB, Dato’ Dr Suhaili Abdul Rahman bersama warga kerja ASB.
Dr Joachim dan rombongannya turut diberikan taklimat oleh Ketua Pegawai Operasi syarikat, David Teo, untuk memberi penerangan lebih mendalam mengenai aktiviti membabitkan perkhidmatan ASB kepada industri gas dan minyak.
Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Mohd Tamin Zainal; Setiausaha Tetap Kementerian bersama Timbalan, Thomas Logijin dan Benedick Bisoni; Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR), Tseu Kei Yue; dan Pengarah Ahli Lembaga Pengarah, Datuk Peter Mak.