Tuaran: Penduduk di sesebuah kampung perlu mengutamakan nilai keharmonian demi mencapai kejayaan sebarang program akan datang.
Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Jahid Jahim (gambar) berkata, nilai itu akan memudahkan kerjasama antara penduduk yang mampu memastikan program dirancang berjalan lancar.
“Kuatkan persahabatan dan persaudaraan antara satu sama lain tanpa perlu mengira latar belakang atau fahaman politik.
“Maka, sesuatu aktiviti kampung pasti mampu dilaksanakan dengan lebih teratur atau mencapai objektif,” katanya selepas merasmikan Pesta Kaamatan di Dewan Muhibbah Kampung Kayangat, Tamparuli, Ahad lalu.
Turut hadir, Setiausaha Politik Kepada Menteri Pembangunan Luar Bandar, Jilias Lintar; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) m Pengerusi Penganjur Pesta Kaamatan Kampung Kayangat, Melin Karim dan Ketua Kampung Kayangat, Karim Goduan.
Jahid yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tamparuli berkata, kehadiran semua penduduk pada program itu membuktikan kerjasama dan hubungan erat antara penduduk kampung.
“Kita harus bersyukur kerana selepas beralih ke fasa endemik, kita akhirnya diberi kelonggaran untuk mengadakan program dalam kapasiti kehadiran orang ramai,” tambahnya.
Terdahulu, Melin menghargai usaha dan komitmen semua penduduk yang menggunakan masa terluang dalam menjayakan program berkenaan.
“Terima kasih atas kerjasama semua pihak yang menjayakan sambutan Pesta Kaamatan pada tahun ini terutamanya penyumbang hadiah,” kata Melin.
Antara pengisian program Pesta Kaamatan di kampung berkenaan adalah acara tarik tali, pertandingan masakan tradisi, Unduk Ngadau, Sugandoi, tiket bertuah dan Ratu Puan.