Tuaran: Kerja-kerja pembinaan laluan lencongan di Kilometer 19.2 Jalan Kiulu-Ranau yang ditutup akibat jalan runtuh akan dilaksanakan esok.
Pembantu Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri, Datuk Joniston Bangkuai, telah melawat lokasi jalan runtuh hari ini bagi meninjau kerosakan.
Dalam lawatan tinjauan itu, beliau diberi taklimat oleh Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri, Datuk Ali Ahmad Hamid, mengenai kerja-kerja pembaikan.
“Pihak JKR akan membina satu laluan lencongan sementara untuk semua jenis kenderaan dan kerja-kerja itu dijangka mengambil masa beberapa hari untuk siap. Kerja penyelesaian jangka panjang juga sedang giat dirancang,” kata Joniston, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kiulu, dalam kenyataan media.