Kota Kinabalu: Mahkamah Tinggi di sini pada Khamis menetapkan 27 Mei tahun ini untuk keputusannya ke atas kes seorang lelaki berusia 53 tahun yang didakwa membunuh bayi perempuannya berusia sembilan bulan.
Hakim Leonard David Shim menetapkan tarikh berkenaan untuk Maidin Ibnuhashim semasa penjelasan penghujahan kedua-dua pihak pada Khamis.
Semasa prosiding, kedua-dua pihak memaklumkan mahkamah bahawa mereka tidak mempunyai hujahan lanjut.
Maidin didakwa membunuh bayi itu antara 10 dan 13 Ogos 2018 di sebuah bilik sewa di Kg Gersik Lama, Labuan.
Kesalahan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman mati jika sabit kesalahan.
Pendakwaan memanggil 15 saksi sepanjang perbicaraan.
Timbalan Pendakwa Raya (DPP) Rustam Sanip mengendalikan pendakwaan manakala peguam dilantik, David Tan mewakili Maidin.
Maidin direman lanjut sementara menunggu tarikh tersebut.
Dalam kes berasingan, seorang lelaki berusia 31 tahun yang didakwa membunuh teman wanitanya tahun lepas, akan dibicarakan pada 17, 18, 26 dan 27 Oktober tahun ini.
Pesuruhjaya Kehakiman Amelati Parnell menetapkan tarikh itu untuk Hartono Janang apabila kesnya dihadapkan untuk pengurusan kes dan bagi mengetahui keputusan daripada Hospital Mesra di Bukit Padang mengenai keadaan Hartono.
DPP Azreen Yas Mohammad Ramli memaklumkan mahkamah bahawa laporan psikiatri sudah tersedia dan Hartono disahkan sihat untuk membuat pengakuan dan dibicarakan.
Hartono, yang tidak mempunyai dokumen, didakwa membunuh Kamalia Yusopp, 35, antara jam 12.30 tengah malam dan 6.55 petang pada 19 Januari, 2021 di atas bukit di belakang sebuah hotel di Bandaran Berjaya di sini.
Peguam dilantik Ram Singh, Kimberly Yeh dan Chan Wen Jye mewakili Hartono.
Sementara menunggu tarikh perbicaraan, Hartono diperintahkan direman lanjut kerana pertuduhan terhadapnya tidak mempunyai peruntukan ikat jamin.