TONGOD: Tiga sekolah menengah di daerah Tongod masing-masing akan menerima sebuah van yang disumbangkan oleh Adun Kuamut, Datuk Masiung Banah.
Tiga van berkapasiti 14 penumpang itu dengan jumlah nilai hampir RM500,000, diterima oleh SMK Tongod, SMK Entilibon dan SMK Penangah.
Upacara penyerahan van berkenaan berlangsung dalam satu majlis disaksikan oleh Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor selepas merasmikan perayaan Pesta Kaamatan peringkat daerah Tongod, baru-baru ini.
Pegawai Pendidikan Daerah Barizah Mohd Kahar menerima sumbangan van tersebut daripada Masiung bagi pihak tiga sekolah menengah berkenaan.
Masiung, yang juga Pengerusi Lembaga Pembangunan Perumahan dan Bandar (LPPB) berkata, penyerahan van itu dilaksanakan secara berperingkat tahun ini oleh syarikat pembekal kerana bekalan terhad.
Masiung berharap sumbangan van itu akan dapat memudahkan sekolah terbabit untuk menjalankan pelbagai aktiviti pendidikan.
“Kita berbangga dengan reputasi pendidikan tiga sekolah menengah ini, khususnya usaha para guru untuk menyampaikan masej pelajaran kepada penuntut ketika pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu,” katanya.
Menurutnya, sebagai tanda penghargaan sumbangan warga pendidik dan ibu bapa di Tongod, pemberian kenderaan sekolah ini akan mampu membantu pentadbiran sekolah dengan lebih berkesan.