Kota Kinabalu: Sabah merekodkan 43 kes baharu Covid-19, Isnin, menjadikan jumlah keseluruhan di negeri itu kepada 371,652, kata jurucakap Covid-19 negeri Datuk Seri Masidi Manjun.
“Jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan dan penurunan kes baharu hampir seimbang,” katanya dalam kemas kini hariannya.
“Lapan daerah mencatatkan peningkatan kes baharu manakala enam daerah mencatatkan penurunan kes.
“Empat daerah iaitu Lahad Datu, Ranau, Tambunan dan Tenom yang mencatatkan sifar kes semalam (Ahad), mencatatkan jangkitan baharu hari ini dengan Tenom merekodkan dua kes dan yang lain masing-masing satu jangkitan baharu.
“Tiga daerah iaitu Kunak, Tawau dan Kuala Penyu yang merekodkan kes baharu semalam tidak mencatatkan sebarang jangkitan baharu hari ini.
Sebanyak 15 daerah tidak merekodkan sebarang jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam lalu.
“Sebanyak 42 kes baharu hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala satu lagi kes dalam Kategori 5,” katanya.
Kira-kira 67 peratus daripada kes baharu pada Isnin dikesan melalui saringan simptomatik manakala hampir 14 peratus daripada saringan kontak dan kira-kira 19 peratus daripada saringan lain.
Sabah juga merekodkan 38 kes pulih (secara kumulatif 364,699).
Bagi vaksinasi, kira-kira 2.49 juta individu di Sabah telah menerima dos lengkap mereka, setakat Ahad (22 Mei).