PENAMPANG: Seorang lelaki cedera parah selepas diserang menggunakan parang oleh bekas teman lelaki tunangnya dalam kejadian bermotifkan cemburu dan dendam di hadapan sebuah bank di tepi jejantas, Putatan dekat sini pada 6.30 petang, 13 Mei lalu.
Menurut Ketua Polis Penampang, DSP Mohd Haris Ibrahim, mangsa berusia 24 tahun itu tiba-tiba diserang dengan parang.
Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, polis percaya kejadian itu bermotifkan cemburu dan dendam.
“Mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan akibat serangan itu selepas ditetak suspek berusia 20 tahun.
“Hasil siasatan, suspek ditahan pasukan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang pada 20 Mei lalu,” katanya pada Khamis ketika Majlis Rumah Terbuka IPD Penampang sempena Hari Raya Aidilfitri.
Mohd Haris berkata dalam tangkapan itu, polis turut merampas parang yang dipercayai digunakan dalam serangan itu.
“Kes ini dianggap sudah ditutup dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Kanun Keseksaan Seksyen 326 kerana mendatangkan kecederaan parah.
“Kertas siasatan penuh akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara untuk tindakan lanjut,” katanya.