Kota Kinabalu: Usaha Kerajaan Negeri ke arah pendigitalan dipuji sebagai langkah tepat bagi Sabah untuk mewujudkan ekosistem ekonomi digital bagi meningkatkan taraf hidup rakyat.
Menteri Sains, Inovasi dan Teknologi Datuk Yakub Khan berkata demikian semasa merasmikan Konvensyen Juruteknik Komputer Sektor Awam Negeri 2022, dengan tema tahun ini ‘Memperkasa Perkhidmatan Digital Juruteknik Komputer Dalam Norma Baharu’, di sini.
“Usaha ke arah pewujudan perkhidmatan digital kerajaan adalah antara lima pemacu utama pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya untuk negeri ini.
“Dalam merealisasikan objektif ini, ia bukan sahaja akan meningkatkan taraf hidup rakyat tetapi memacu peralihan dipercepatkan kepada teknologi digital dan membuka jalan ke arah penubuhan ekosistem ekonomi digital,” katanya.
Dalam ucapannya, Yakub turut memuji penganjur konvensyen itu yang diharap dapat meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mengoptimumkan penggunaan teknologi dan inovasi digital bagi meningkatkan lagi penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat.
“Selain meningkatkan kesedaran, inisiatif sebegini menjadi platform pembelajaran berterusan untuk mengembangkan pengetahuan, kemahiran dan sikap positif terhadap penggunaan teknologi digital yang inovatif dalam kalangan anggota perkhidmatan awam.
Selain itu, beliau berkata konvensyen itu akan meningkatkan kapasiti digital penjawat awam merentasi pelbagai disiplin dan profesion untuk menjadi pakar dan profesional terlatih dalam Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT).
Sambil mengucapkan tahniah kepada peserta, Yakub melahirkan keyakinan konvensyen itu dapat memacu penciptaan idea baharu melalui penggunaan teknologi dan inovasi digital bagi meningkatkan lagi perkhidmatan juruteknik di semua agensi kerajaan negeri dalam menghadapi norma baharu dalam era baharu fasa endemik Covid- 19.
Sempena Jelajah Keluarga Malaysia kerajaan ke seluruh negara, Yakub memetik Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, yang menyatakan konsep Keluarga Malaysia menggalakkan keterangkuman silang budaya, etnik dan agama, keharmonian dan penghargaan, yang telah menjadi cara hidup bagi rakyat Malaysia di Sabah.
“Dengan ini, juruteknik komputer diharap dapat mempraktik dan mengaplikasikan pengetahuan serta kemahiran yang dipelajari dalam semangat berpasukan yang positif, setiakawan, dan meningkatkan komunikasi mereka dengan orang lain seperti pengurusan tertinggi, rakan sekerja dan agensi luar.
Hadir sama dalam konvensyen itu, Setiausaha Tetap Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Zainudin Aman, Pengarah Perkhidmatan Jabatan Komputer Negeri, Ernywati Dewi Abas dan timbalan pengarahnya, Kamaltan Karimin, antara lain.