Kota Kinabalu: Pasukan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengatasi Kota Kinabalu untuk memenangi Kejohanan Tinju Piala Mayor anjuran Persatuan Tinju Sabah (SBA) yang berakhir di dewan serbaguna Damai pada Selasa lalu.
Mereka memenangi tiga emas yang disumbangkan oleh Mohd Sukandar (51kg), Mohd Hanif (67kg) dan Mohd Shahrul (71kg) selain satu perak dan lima gangsa, sementara Kota Kinabalu yang memenangi dua emas, empat perak dan satu gangsa terpaksa berpuas hati sebagai naib juara dan tempat ketiga ialah Sandakan dengan dua emas dan empat gangsa.
Petinju dari Tambunan, Deanver Randel dinamakan sebagai petinju terbaik dan Koperal Fauzan Ahlal dari ATM sebagai jurulatih terbaik, sementara anugerah ‘best loser’ diberikan kepada Sherzali Herza Asli juga dari Tambunan.
Sementara itu, pertarungan wanita turut diadakan dalam kategori 45kg yang dimenangi oleh petinju dari Tambunan, Bridgette Olga selepas menewaskan Trisha Farisha dari Papar di final.
Seramai 89 petinju termasuk enam wanita dari 11 pasukan mengambil bahagian dalam acara empat hari itu yang diadakan bagi memilih atlet bagi mewakili negeri untuk temasya Sukma di Kuala Lumpur pada September serta Piala Malaysia tahun depan.
Mayor Datuk Noorliza Alip hadir pada majlis penutupan untuk menyampaikan piala dan hadiah kemenangan.