Kota Kinabalu: Tujuh orang didenda RM7,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana terlibat dalam kegiatan perjudian haram.
Clethra Cyrinus, Aranor Nistul, Nur Effa Abdullah dan Hatina Subana mengaku bersalah secara berasingan kerana memiliki peralatan perjudian haram.
Clethra diperintah membayar denda RM1,200 atau penjara dua bulan kerana memiliki tiga tiket loteri tanpa lesen termasuk telefon bimbit, pencetak mudah alih dan RM45 pada pukul 5.28 petang 6 Nov 2021 di Kepayan Ridge.
Aranor didenda RM1,200 atau dua bulan penjara kerana mempunyai tiga slip loteri haram pada pukul 5 petang 26 Feb 2022 di Putatan.
Nur Effa didenda RM800 atau penjara dua minggu kerana memiliki dua slip 4D haram termasuk wang tunai RM90 pada pukul 4.05 petang 5 Mac tahun ini di Kolombong, Inanam.
Hatina didenda RM800 atau penjara dua minggu kerana memiliki dua tiket loteri haram pada pukul 2.50 petang 9 Mac tahun ini di Donggongon, Penampang.
Mereka masing-masing melakukan kesalahan di bawah Seksyen 9(1) Akta Rumah Perjudian Terbuka, yang membawa hukuman penjara sehingga enam bulan, atau denda sehingga RM3,000, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Sementara itu, Hairul Idris, Alvin Fred dan Nurmala Rany mengaku secara berasingan terlibat dalam perjudian dalam talian menggunakan telefon bimbit masing-masing di khalayak ramai.
Hairul didenda RM1,200 atau penjara dua bulan kerana melakukan kesalahan itu pada pukul 1.25 tengah hari 28 Jan tahun ini di Manggatal, manakala Alvin didenda RM1,000 atau dua bulan penjara bagi kesalahan sama pada pukul 2.30 petang 27 Mei 2021 di Plaza Kivatu, Penampang.
Nurmala Rany didenda RM800 atau penjara dua minggu kerana melakukan kesalahan itu pada pukul 4.30 petang 15 Mac tahun ini di Inanam.
Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 7(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Tujuh tertuduh itu yang berumur antara 21 dan 34 tahun hadir di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun, Lovely Natasha Charles dan Stephanie Sherron Abbie.
Terdahulu, pihak pendakwaan dalam mengemukakan fakta kes, memberitahu mahkamah bahawa tujuh individu itu telah ditahan polis dalam serbuan susulan maklumat mengenai kegiatan perjudian di kawasan masing-masing.
Pendakwaan dijalankan oleh Inspektor Albert Basiri, Kelvan Elson Maik dan Suzie @ Stephanie Kupit.