BELURAN: Seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun maut selepas kenderaan yang dinaikinya terbabas di jalan Telupid-Beluran petang Jumaat.
Ketua Polis Daerah Beluran, Supt Kasim Muda berkata Muhammad Fahmi Hakimi dalam perjalanan bersama ibu bapa dan tiga adik-beradiknya dalam tragedi pukul 3 petang itu.
“Difahamkan, keluarga berkenaan menaiki sebuah Toyota Prado dari arah Ranau menuju ke Sandakan ketika itu.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kenderaan itu terbabas dari jalan raya ketika menuruni jalan berbukit dan berliku.
“Ahli keluarga lain hanya mengalami kecederaan ringan. Muhammad Fahmi disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di Klinik Kesihatan Telupid,” katanya.
Mayat kemudian dihantar ke Hospital Beluran untuk bedah siasat. Polis menyiasat kes itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.