Kota Kinabalu: Pejabat Perhubungan Kawasan Api-Api mengadakan Program ‘Jom Balik Sekolah’ bagi meringankan beban ibu bapa berikutan penularan wabak Covid-19.
Adun Api-Api Datuk Christina Liew melancarkan program ini pada Ahad semasa jamuan kesyukuran sebagai tanda penghargaan kepada pemimpin akar umbi yang telah bekerja keras semasa pemilihan PKR baru-baru ini.
“Kami memberikan set alat tulis sekolah kepada kanak-kanak memerlukan, khususnya daripada keluarga B40 di kawasan Api-Api.
“Kami memahami kesusahan kewangan ibu bapa daripada golongan berpendapatan rendah, dan berharap inisiatif kami dapat memberi sedikit kelegaan kepada mereka yang mempunyai beberapa anak yang bersekolah,” katanya.
Sebagai permulaan, sebanyak 818 set alat tulis diserahkan kepada ketua masyarakat yang mewakili pelbagai kawasan. Menurut Liew, ketua masyarakat diamanahkan untuk mengagihkan set alat tulis kepada ibu bapa yang layak di kawasan masing-masing.