Kota Kinabalu: Sebuah syarikat didenda RM10,000 kerana memiliki 1,800 kotak Lianhua Qingwen Jiaonang tidak berdaftar yang telah digunakan sebagai rawatan alternatif bagi Covid-19.
Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus menjatuhkan hukuman itu kepada Dex Communication Sdn Bhd selepas pengarahnya mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadap syarikat itu pada Selasa.
Syarikat itu didapati memiliki Lianhua Qingwen Jiaonang yang tidak berdaftar dengan Kementerian Kesihatan (KKM) pada jam 10.52 pagi 7 Sept 2021 di premis syarikat di kompleks Asia City, di sini.
Kesalahan di bawah Peraturan 7(1)(a) Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984 itu boleh dihukum mengikut Seksyen 12(2) Akta Jualan Dadah 1952 yang membawa hukuman penjara sehingga tiga tahun, atau denda sehingga RM50,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semasa rayuan, peguam Chin Tek Ming yang mewakili syarikat itu, meminta hukuman ringan dengan mengatakan bahawa syarikat itu menjual produk itu untuk pendapatan sampingannya kerana situasi pandemik.
Chin turut memberitahu mahkamah bahawa syarikat itu juga dipengaruhi oleh peniaga luar berhubung produk tersebut.
Bagaimanapun, Pegawai Pendakwa Mad Sapri Tumiran dari Jabatan Farmasi, menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada syarikat itu serta memberi amaran keras kepada peniaga lain.
Mad Sapri memberitahu mahkamah bahawa rampasan produk itu membabitkan jumlah yang besar dan dianggarkan bernilai RM36,000.
Dia mendedahkan ia merupakan rekod rampasan terbesar berbanding rampasan produk sama tidak berdaftar di Selangor baru-baru ini yang hanya 1,200 kotak.
Menurut Mad Sapri, memandangkan jumlah produk yang banyak, ia disyaki diedarkan ke seluruh Sabah untuk tujuan rawatan alternatif bagi Covid-19 dan ini menunjukkan eksploitasi rakyat Sabah yang bimbang dalam menghadapi Covid- 19.
Tambah Mad Sapri, produk itu tidak berdaftar dengan KKM dan boleh membahayakan kesihatan orang ramai apabila menggunakannya secara berterusan tanpa pemeriksaan dan rawatan kesihatan oleh pengamal perubatan.