TAWAU: Seorang lelaki warga asing dipenjara 18 bulan dan didenda RM300,000 atau penjara dua tahun oleh Mahkamah Sesyen di sini, pada Rabu selepas mengaku salah memindahkan 500 liter minyak petrol tanpa permit.
Abdul Rajul Diliun, 45, mengaku di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud bahawa dia melakukan kesalahan itu di sebuah stesen minyak di Semporna sekitar jam 11.40 pagi 1 Jun lalu.
Abdul Rajul didakwa mengikut Seksyen 20 (1) Akta Kawalan Bekalan 1961 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 22 (2) Akta 122.
Selepas menjalani hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dirujuk ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk dihantar pulang ke negara asal. Menurut fakta kes, tertuduh bersama beberapa lagi ditahan sepasukan polis yang menjalankan Ops Kontraban di kawasan berkenaan.
Ketika itu, tertuduh sedang leka mengisi minyak petrol di sebuah stesen minyak ke dalam 20 gelen, dipercayai diangkut menggunakan tiga unit kereta sorong untuk dibawa ke Kg Air, Semporna bagi tujuan urusniaga.
Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Malai Rosidi Malai Muhamad menjalankan pendakwaan.