KUDAT: Lebih 280 penduduk Kg Loro Kecil di sini bakal kehilangan tempat tinggal apabila perkampungan berkenaan dikhabarkan sudahpun diambil alih oleh pihak lain.
Ketua Kampung KK Jeffry Andorog mendakwa perkampungan Loro Kecil yang dikatakan berusia lebih 60 tahun itu kini dicerobohi pihak tertentu dan dikhabarkan telahpun diambil alih.
“Kami memohon penjelasan terhadap perkara ini kerana kami penduduk kampung di sini tidak dimaklumkan apa-apa (tiada perundingan awal),” jelas Jeffry.
Naib Ketua Bahagian Star Tanjung Kapor, Shawn Davey yang turut berada pada perhimpunan bagi membantah perkembangan itu menjelaskan wujud kemungkinan besar penduduk di kampung berkenaan akan diusir jika benar tanah perkampungan tersebut sudah dipindah milik.
“Saya dihubungi oleh penduduk kampung bagi mendapatkan bantuan dan apa yang saya difahamkan ialah mereka menuntut penjelasan daripada pihak berkenaan menjernihkan keadaan.
“Ramai kalangan warga emas tinggal di kampung Loro Kecil dan ada yang sudah mencecah lebih 80 tahun. Itu bermakna perkampungan ini sudah lama wujud, “ kata Shawn.
Turut hadir dalam perhimpunan aman itu ialah bekas Ketua Kampung Justin Magempit dan peguam Rhubaica Munira Abdul Samat dari Tetuan Messrs Sally Lu & Co. bagi pihak penduduk kampung Loro Kecil.