Kota Kinabalu: Wakil Johor, Stefanus Able muncul juara pada pusingan akhir Buvazoi Tavantang (Mr Kaamatan) 2022, di Auditorium Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKNS) Sabah, di sini, Sabtu.
Pegawai pemasaran digital berusia 26 tahun itu menewaskan 41 peserta lain dalam acara tahunan yang dinanti-nantikan itu.
Di tempat kedua dan ketiga masing-masing adalah Jayfrejoe Japrin yang mewakili DBKK dan Macwell Elity (Kemabong).
Stefanus membawa pulang hadiah bernilai RM57,100, termasuk wang tunai RM5,000, “sigah” yang direka khas (tanjak lelaki tradisional), serta trofi.
Jayfrejoe dan Maxwell masing-masing memenangi hadiah bernilai RM38,600 dan RM26,100.
Ditanya mengenai kemenangannya, Stefanus berkata dia menganggapnya sebagai batu loncatan untuk menjadi ikon budaya atau teladan kepada pemuda Kadazan Dusun Murut (KDM) lain.
“Saya bersyukur kepada Tuhan atas kemenangan saya dan saya tidak menyangka akan memenanginya...saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada semua finalis.
“Saya melakukan yang terbaik untuk pertandingan ini dan saya mendedikasikan pencapaian saya kepada keluarga saya.
“Saya juga ingin menjadi seseorang yang boleh dicontohi oleh pemuda KDM supaya mereka tidak segan untuk menyertai acara seperti Mr Kaamatan,” kata Stefanus yang berasal dari Keningau, tetapi kini berpangkalan di Johor dan di sini.
Mengenai rancangan seterusnya, Stefanus berkata dia akan bekerjasama dengan finalis Mr Kaamatan yang lain untuk memenuhi manifesto pertandingan mereka, selain daripada menggalakkan orang lain menyertai program itu.
Terdahulu, Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan menyatakan harapan untuk daerah-daerah di Sabah menganjurkan Mr Kaamatan sebagai salah satu acara Kaamatan utama mereka, sama seperti Unduk Ngadau Kaamatan, mulai tahun depan.
“Program tahun ini bermula di beberapa daerah yang memilih wakil mereka ke pertandingan peringkat Negeri.
“Saya melihat ini sebagai perkembangan positif untuk pertandingan itu,” katanya dalam ucapan yang dibacakan Setiausaha Tetap Kementerian Pertanian dan Perikanan, Datuk Dr Mariana Tinggal.
Pertandingan budaya lelaki itu pertama kali diadakan pada 2008 secara kecil-kecilan, dan pada 2018, Mr Kaamatan didaftarkan sebagai jenama dengan Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).
Pada 2017, konsep dan pelaksanaan pertandingan itu ditambah baik dengan pembentukan ahli jawatankuasa baharu, pemilihan tempat baharu dan acara sampingan serta sistem penjurian baharu.
Sejak tahun lalu, ia diiktiraf sebagai salah satu acara rasmi Pesta Kaamatan Negeri dan Lembaga Kebudayaan Negeri (LKNS) dilantik sebagai penyelaras pelaksanaan pertandingan kebudayaan lelaki.