KOTA MARUDU: Kerajaan perlu mempelbagaikan program latihan kemahiran kepada warga Sabah, untuk menempatkan golongan berkenaan ke pelbagai sektor industri, bagi mengurangkan pergantungan kepada pekerja warga asing.
Ahli Majlis Tertinggi Parti Solidariti Tanah Airku (Star) Sabah, Muariffidin Abdul Malek Chua berkata, pelbagai sektor baharu yang merangkumi sumber mineral, cari gali dan industri pelancongan semakin berkembang dan memerlukan pekerja.
“Perkembangan pelbagai sektor industri dalam fasa pemulihan ekonomi pasca pandemik memerlukan tenaga kerja, dan keperluan ini harus diisi dengan mengutamakan penglibatan pekerja tempatan,” katanya.
Muariffidin berkata demikian ketika memulakan sesi program kerjaya bersama Mentari Management Bhd, sebuah syarikat bersekutu Mentari Corporation yang menawarkan pelbagai bidang pekerjaan kepada tenaga kerja tempatan.
Turut hadir Naib Presiden Star Dr Paul Porodong dan Ahli Majlis Tertinggi parti itu Ts. Ir. Jovilis Majami.
Muariffidin turut menyambut baik saranan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M Saravanan untuk mengutamakan pekerja tempatan di dalam pelbagai sektor, kerana pergantungan pekerja asing boleh melemahkan ekonomi negara.
Muariffidin seterusnya mengajak rakyat Sabah agar berani melangkah ke hadapan untuk menempati pelbagai sektor pekerjaan yang tersedia kerana langkah itu sekali gus dapat membantu meningkatkan ekonomi setempat.