HEADLINES :


ADVERTISEMENT



Pemilik ditegur biarkan anjing berkeliaran tanpa pengawasan
Published on: Thursday, June 23, 2022
By: Sidney Skinner
Text Size:


ANJING-ANJING di jalan Penampang ini “berkawan” dengan staf Majlis selepas menghampiri untuk menghidunya.
MAJLIS Daerah telah menegur dua pemilik anjing di Penampang kerana melepaskan haiwan peliharaan mereka tanpa pengawasan ke jalan perumahan mereka, sementara Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) terus memantau kehadiran anjing liar di dua jalan di sebuah kejiranan di Luyang.

Tindakan ini didorong oleh maklum balas daripada pembayar kadar di kawasan masing-masing mengenai gangguan yang wujud akibat anjing-anjing ini.

Seorang jurucakap Majlis berkata kedua-dua pemilik anjing itu diingatkan tentang garis panduan agensi mengenai pemeliharaan haiwan sedemikian, termasuk keperluan untuk mengiringi anjing mereka apabila haiwan ini berada di kawasan umum di sekitar kejiranan mereka.

“Mereka diminta untuk memastikan anjing mereka berada di dalam kawasan rumah, jika mereka tidak dapat melakukan ini,” katanya.

“Salah seorang pemilik itu juga diminta untuk membaiki pagarnya kerana ia kelihatan seolah-olah anjingnya telah membuat lubang di satu bahagian pagar itu untuk keluar dari halaman rumahnya.”

STAF lain berbual dengan seorang daripada dua pemilik anjing mengenai syarat agensi berhubung haiwan peliharaannya.

Kedua-dua individu itu bersetuju untuk mematuhi arahan Majlis, menurutnya.

Tindakan agensi itu didorong oleh satu dakwaan, daripada KANNY, bahawa orang yang lalu lalang telah dikejar oleh anjing-anjing yang berkeliaran di jalan di luar rumahnya.

“Saya hampir digigit apabila saya pergi berjoging pada satu pagi,” katanya.

“Tiga anjing mengejar saya sekitar jam 6 pagi. Mujurlah saya dapat lari lebih laju daripadanya dan kembali dengan selamat ke halaman rumah saya.”

Kanny memberikan Hotline lokasi dan nama jalan perumahan di mana kejadian itu berlaku. Maklumat ini diserahkan kepada Majlis.

Jurucakap itu berkata tiga pegawai dari Unit Haiwan dan Vektor (AVU) pergi ke pengadu itu pada kira-kira jam 6 pagi, dua hari selepas mengetahui apa yang berlaku.

“Tiga anjing menghampiri salah seorang kakitangan kami pada masa itu, namun tiada satupun yang berkelakuan agresif atau menunjukkan ancaman mahu menggigitnya.

“Anjing-anjing itu menyalak terhadapnya, pada mulanya, tetapi berhenti selepas mendekati untuk menghidunya.”

Dia berkata kakitangan AVU amat mengesyaki bahawa anjing-anjing ini telah dijinakkan, dan bukan anjing liar, daripada kelakuannya.

Mereka kemudiannya mendapati bahawa dua daripada anjing itu adalah milik seorang pemilik rumah di kawasan itu, manakala anjing ketiga dipelihara oleh seorang lagi, menurutnya.

SEBUAH lori dikerahkan untuk membantu DBKK dalam usaha menangkap anjing liar di Luyang.


“Kami berjaya mengenal pasti dua individu ini dengan bantuan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang telah bekerjasama dengan Majlis untuk menjaga kesejahteraan haiwan di sekitar Penampang.”

Jurucakap itu berkata AVU akan terus memantau keadaan di kejiranan itu untuk memastikan pemilik anjing mematuhi arahan agensi.

Sementara itu, Bahagian Kawalan Haiwan (ACD) DBKK telah dikerahkan untuk melakukan perkara sama di sebuah kejiranan di Luyang, selepas seorang penduduk di situ menyuarakan rasa tidak senang terhadap kekecohan yang disebabkan oleh sekawan anjing.

Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran agensi itu, yang mana ACD adalah salah satu bahagiannya, berkata ia gagal menemui sebarang anjing liar di jalan perumahan di sana.

“Petugas ACD yang dilengkapi jaring berjalan kaki di sekitar kawasan umum,” katanya.

“Salah satu lori terbuka kami dikerahkan untuk memudahkan usaha ini.”

Biarpun pulang dengan tangan kosong, dia berkata ACD akan membuat pemeriksaan secara rawak di kejiranan tersebut untuk memastikan orang ramai tidak terlalu diganggu oleh mana-mana anjing di sana.

Jurucakap itu mengingatkan pemilik anjing di sekitar Kota Kinabalu supaya memastikan haiwan peliharaan mereka disimpan di dalam kawasan rumah mereka.

“Pasukan ACD diberi kuasa untuk menangkap mana-mana anjing yang ditemui berkeliaran tanpa diselia.

“Anjing yang memakai tag akan dikurung, dan pemiliknya diberi tempoh ihsan untuk menuntutnya.”

SEORANG staf DBKK berjalan di sekitar kejiranan Luyang ini, sambil mencari anjing tidak diselia di kawasan umum.

Dia berkata pembayar kadar perlu menjelaskan kompaun sehingga RM500, sebelum haiwan peliharaan mereka dikembalikan.

MELANIE dan keluarganya tidak dapat tidur nyenyak pada waktu malam kerana bunyi bising daripada anjing menyalak di tempat dia tinggal di Luyang.

Dia mengesyaki bahawa bunyi bising itu dicetuskan oleh sekawan anjing liar yang dilihatnya di jalan perumahan di situ.

“Terdapat kira-kira 10 ekor anjing yang saya lihat berkeliaran di sekitar kejiranan saya,” katanya.

“Sekiranya salah satunya mula melolong pada waktu subuh maka setiap haiwan peliharaan lain di sekitar juga akan mula melolong.

“Perkara sama berlaku jika anjing-anjing ini menyalak terhadap anjing lain di dalam mana-mana rumah di sini.”

Melanie berkata bunyi salakan itu bertambah kuat dan mengganggu, semakin lewat malam.

“Ini lebih-lebih lagi apabila bunyi persekitaran berkurang selepas tengah malam. Bunyi bising yang menyusuli akan menyebabkan kami terjaga dan sukar untuk tidur semula.”

Dia mendakwa bahawa beberapa anjing liar itu juga menggeram kepada pengutip sampah yang datang ke kejiranan itu.

“Sekarang, saya sentiasa memandang ke kiri dan ke kanan untuk melihat jika ada anjing di sekeliling, sebelum membuang sampah ke tong saya.

“Saya takut mereka mungkin mengejar saya.”

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



ADVERTISEMENT







Berita Popular


Advertisement 


Follow Us  




Follow us on            

Daily Express TV