Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
KL City raih satu mata, KDA tumpas di Bali
Published on: Sunday, June 26, 2022
Published on: Sun, Jun 26, 2022
By: Bernama
Text Size:
Text:
KL City raih satu mata, KDA tumpas di Bali
PEMAIN KL City, Paulo Josue diasak pemain PSM Makassar Erwin Gutawa pada saingan Piala AFC Kumpulan H di Stadium Kuala Lumpur malam Jumaat lalu. – fotoBERNAMA
Kuala Lumpur: Penyandang Juara Piala Malaysia, Kuala Lumpur (KL) City FC gagal meraih kemenangan di laman sendiri selepas terikat tanpa jaringan menentang wakil Indonesia, PSM Makassar pada aksi sulung Kumpulan H saingan Piala Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), malam Jumaat lalu.

Pada aksi di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras di sini, kedua-dua pasukan bermula garang apabila saling berbalas serangan dengan PSM Makassar terlebih dahulu memberikan amaran pada minit ke-10 menerusi rembatan dari luar kotak penalti ketua pasukan Willem Jan Pluim yang sedikit tersasar.

Advertisement
KL City yang mula mendapat rentak selepas 15 minit akhirnya mencipta serangan berbahaya pertama pada minit ke-21 selepas ketua pasukan Paulo Josue bijak menggelecek dua pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan deras yang ditepis penjaga gol Muhammad Reza Pratama.

Penyerang import dari Congo, Kevin Koubemba mempunyai peluang keemasan untuk meletakkan KL City di depan pada minit ke-39 tetapi Muhammad Reza sekali lagi bertindak cemerlang selepas merebahkan badan untuk menyelamatkan rembatan dari jarak dekat Koubemba.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Empat minit berselang giliran PSM Makassar yang dibimbing Bernardo Tavares hampir memecah kebuntuan, namun rembatan lencong penyerang Yakob Sayuri hanya menggegar bucu gol sebelum babak pertama berakhir dengan kedudukan 0-0. Bersambung babak kedua, KL City mempunyai dua peluang terhidang untuk mendahului permainan namun percubaan dari jarak dekat penyerang Romel Morales dan pemain pertahanan Muhammad Irfan Zakaria masing-masing dinafikan palang.

Advertisement
Morales gagal menceriakan kira-kira 1,259 penonton yang hadir ke gelanggang keramat skuad “The City Boys” itu selepas rembatan dari dalam kotak penalti pada minit ke-58 tepat ke palang sebelum nasib sama menimpa Muhammad Irfan apabila tandukannya pada minit ke-68 turut terkena palang.

Skuad bimbingan Bojan Hodak terus berusaha memburu gol, namun gagal meraih jaringan yang dicari-cari sekali gus terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata dengan Juara Piala Indonesia 2019 itu menjelang aksi terakhir kumpulan bertemu Tampines Rovers dari Singapura di sini 30 Jun ini.

Advertisement
Bagaimanapun, Tampines Rovers terlebih dahulu akan memulakan kempen saingan kumpulan bertemu PSM Makassar Isnin depan di venue sama.

“Saya selalunya kecewa jika saya tidak menang tetapi kadang-kadang anda perlu melihat kepada realiti dan saya fikir kami melakukan segalanya dengan baik.

“Di bahagian pertahanan kami tidak memboloskan sebarang gol, akhirnya kami beraksi sebagaimana sepatutnya kami bermain, sebagaimana kami bermain dalam final Piala Malaysia tetapi dari segi serangan inilah masalah kami dan kerana itulah kami mendapatkan penyerang baharu,” kata Hodak dalam sidang media selepas perlawanan itu.

Sementara itu Tavares berkata: “Kami mempunyai peluang mereka mempunyai peluang, kami boleh melakukan jaringan mereka juga boleh, saya rasa jika ada jaringan dalam perlawanan ini ia adalah lebih baik kerana peminat datang ke stadium untuk menyaksikan jaringan gol.” Dalam satu lagi perlawanan Piala AFC malam Jumaat lalu melibatkan wakil negara menyaksikan Naib Juara Liga Super musim lepas Kedah Darul Aman (KDA) FC tewas 0-2 kepada kelab dari Indonesia, Bali United FC pada aksi Kumpulan G di Stadium Kapten I Wayan Dipta di Bali.

Gol tuan rumah disumbangkan jaringan sendiri kapten KDA Wanja Ronald Ngah pada masa kecederaan babak pertama sebelum pemain sayap Muhammad Rahmat mengesahkan kemenangan 2-0 pasukannya menerusi penyudah pada minit ke-82.

Pada aksi kedua kumpulan Isnin depan, KDA akan menentang kelab dari Filipina Kaya FC-Iloilo yang tewas 1-2 kepada wakil Kemboja Visakha FC dalam satu lagi aksi Kumpulan G hari ini.

Saingan kumpulan Piala AFC melibatkan KL City dan KDA akan berlangsung secara liga sepusingan dengan juara kumpulan dan satu naib juara terbaik antara tiga kumpulan Zon Asean akan layak ke peringkat seterusnya. 
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here