Kota Kinabalu: Sabah kembali mencatatkan peningkatan kes harian baharu Covid-19 dengan 123 kes pada Isnin, pertambahan 10 kes berbanding jumlah Ahad lepas.
Menurut Jurucakap Covid-19 Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun (gambar), tidak ada perubahan signifikan pada Isnin berbanding kedudukan Ahad lepas kecuali pergerakan turun-naik jangkitan harian yang sentiasa berubah.
“Jumlah daerah yang merekodkan peningkatan kes dengan daerah yang merekodkan penurunan adalah sama iaitu masing-masing enam daerah.
“Beberapa daerah mencatatkan perubahan angka jangkitan yang agak besar iaitu Kota Kinabalu (+15), Keningau (+9), Tuaran (+6), Sandakan (-10), Penampang (-8) dan Papar (-7),” katanya dalam kemas kini malam tadi.
Masidi menambah, perubahan angka jangkitan harian di Kota Kinabalu sebanyak 81 kes pada Isnin perlu diambil perhatian oleh semua penduduk sekitar Bandaraya.
“Hampir 85.2 peratus daripada jangkitan baharu di Kota Kinabalu pada Isnin adalah melalui jangkitan sporadik. Risiko jangkitan virus Covid-19 adalah tinggi di tempat-tempat yang sesak atau semasa berkumpul beramai-ramai.
“Semua diingatkan agar mematuhi semua SOP bagi mengurangkan risiko jangkitan virus Covid,” katanya.
Enam daerah kembali merekodkan jangkitan baharu setelah mencatatkan ‘kes sifar’ Ahad lepas sementara empat daerah pula kembali mencatatkan kes sifar.
“Secara keseluruhan, 16 daerah tidak mencatatkan sebarang kes baharu sepanjang 24 jam yang lalu berbanding 18 daerah Ahad lepas,” katanya sebelum menambah sebanyak 121 daripada 123 kes yang direkodkan pada Isnin adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2 serta dua kes dalam Kategori 4.
Kumulatif penduduk Sabah yang telah menerima vaksin dos 1 setakat 26 Jun 2022 adalah seramai 2,607,989 orang.
Ini meliputi 2,138,932 orang penduduk dewasa bersamaan dengan 78.74 peratus jumlah penduduk dewasa.
Bagi penduduk Sabah yang menerima dos lengkap adalah seramai 2,505,013 orang. Daripada jumlah itu, seramai 2,095,320 orang atau 77.13 peratus adalah penduduk dewasa.