Kota Kinabalu: Pasukan Perbadanan Pembangunan Bandar Sabah (SUDC) merangkul gelaran berpasukan tertutup pada Cabaran Golf Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sabah (Sedco) 2022 yang diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-50 mereka di Dalit Bay Golf & Country Club Sabtu lalu.
Pasukan dianggotai Ali Hassan Ag Salleh, Paul Voon, Anthony Dumpangol dan Calvin Chung itu mengumpul sejumlah 108 mata untuk menewaskan pasukan Sedco dengan tiga mata, sementara pasukan SVH ketinggalan dua mata lagi di belakang di tempat ketiga.
Dalam kategori terbuka, pasukan D Fantastic 4 terdiri daripada Radin Yusuf, Jordan Mobijohn, Khalid Jikal dan Mordiana Abdullah merangkul gelaran dengan 115 mata disusuli oleh pasukan Qhazanah Sabah (111) dan Gazetta Sports (109).
Sementara gelaran gross terbuka individu dimenangi oleh Datu Goldah Keri (70) manakala tempat kedua ialah Donnie Intung (74) dan Khalid Jikal (80) di tempat ketiga, sementara Ishak Idris (84) memenangi gelaran gross tertutup disusuli Thor Gervasi (86) dan Adian Alang (87).
Dalam kategori nett terbuka, Radin Yusuf (68) memenangi gelaran dengan Jordan Mobijohn (70) di tempat kedua menerusi kiraan semula (OCB) ke atas Dexter David (70), dan tiga pemenang teratas dalam kategori tertutup ialah Ali Hassan Ag Salleh (71), Mordiana Abdullah (72 OCB) dan Marzuki (72).
Seramai 124 pemain golf mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan itu yang dianjurkan oleh kelab sukan dan sosial Sedco, dan tetamu kehormat ialah setiausaha tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Thomas Logijin, yang turut menyampaikan hadiah kemenangan.