Kota Kinabalu: Kira-kira 30 wakil ahli gabungan Persatuan Bola Sepak Sabah (Safa) diberikan ceramah yang dikendalikan oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah yang diketuai pengarahnya, Sempini Langiton di sebuah hotel di sini pada Jumaat.
Penolong setiausaha agung Safa Azman Mastar yang mewakili setiausaha agung Dato’ Jelani Hamdan bagi merasmikan majlis itu berkata kursus sehari itu akan membantu mengukuhkan kepimpinan ahli gabungannya dan meningkatkan kualiti pengurusan mereka.
“Inilah matlamat utama persatuan dengan kerjasama pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah untuk mengadakan kursus sebegini kerana melalui kursus sebegini FA daerah dapat menambah baik pentadbiran dan pengurusan mereka bagi membantu pembangunan bola sepak negeri ini,” katanya.
Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pejabat Pesuruhjaya Sukan Sabah kerana memberi ceramah kepada peserta.
Turut hadir adalah ahli majlis tertinggi Safa, Mustapha Tuah dan setiausaha eksekutif David Wisom.
Sementara itu, ahli gabungan juga diberi amaran mengenai tindakan yang diambil terhadap mereka jika mereka gagal mematuhi setiap keperluan yang diperlukan oleh pejabat Pesuruhjaya Sukan, termasuk mengemukakan laporan tahunan.