Kota Kinabalu: Dua lelaki masing-masing dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan kerana mengambil dadah secara berulang.
Jofreddy George @ Samuel dan Adiasawandi Ajust mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Noor Hafizah Mohd Salim, kepada pertuduhan terhadap mereka.
Jofreddy didapati mengambil dadah pada 15 Mac selepas air kencingnya disahkan positif dadah di balai polis Beaufort.
Adiasawandi didapati mengambil dadah pada 23 Mac selepas air kencingnya disahkan positif dadah di balai polis Ranau.
Kedua-dua mereka mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah.
Kesalahan mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952 itu memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Jofreddy dan Adiasawandi menjalani hukuman penjara dari tarikh mereka ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman penjara masing-masing.
Sementara itu, dua lelaki masing-masing dipenjara empat bulan dan dikenakan satu sebatan kerana memasuki negeri ini secara haram.
Jhohael Jhadil dan Jaka Amil Hamza secara berasingan mengaku memasuki negeri ini tanpa dokumen sah mereka.
Dua pendatang tanpa izin itu ditahan selepas gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri.
Mereka meminta dihantar pulang ke negara asal masing-masing secepat mungkin.
Selepas hukuman penjara mereka selesai, mereka diperintah rujuk ke Jabatan Imigresen.