Kota Kinabalu: Dua orang pada Rabu dipenjara sehari dan didenda sejumlah RM22,000 pada Rabu kerana memandu dalam keadaan mabuk, tahun lalu.
Fong Cheong Chiew, 41, dan Lea Vanessa, 24, mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas tuduhan melakukan kesalahan itu masing-masing pada jam 12.24 pagi dan 12.40 pagi, pada 22 Okt 2021 di Jalan Bundusan berhampiran stesen minyak Shell, di Penampang.
Mereka masing-masing dipenjara sehari dan didenda RM11,000 atau tiga bulan penjara.
Pertuduhan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan (Pindaan 2020) itu, memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun dan denda antara RM10,000 dan RM30,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Pegawai pendakwa trafik Inspektor Mohd Firdaus Che Mustafa memberitahu mahkamah bahawa kedua-duanya didapati melakukan kesalahan itu semasa sekatan jalan raya di tempat tersebut.
Mahkamah turut memerintahkan kedua-dua Fong dan Lea hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu sekurang-kurangnya selama dua tahun dari tarikh sabitan.
Sementara itu, seorang ahli perniagaan didenda RM2,000 atau penjara dua bulan pada Rabu kerana memiliki pistol tiruan.
Faizul Nazreen Yusof, 39, mengaku bersalah di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie atas pertuduhan memiliki pistol tiruan pada pukul 5.20 petang 20 Jun tahun ini di dalam beg dalam kenderaan di hadapan sebuah rumah di Jalan NC Mogunting, Taman Wawasan Mahandoi, di Penampang.
Mahkamah dimaklumkan oleh pihak pendakwaan bahawa Faizul telah ditahan polis dalam serbuan di mana pistol replika itu ditemui dalam beg pakaian di dalam kenderaan itu.
Inspektor Suzie @ Stephanie Kupit, yang menjalankan pendakwaan, memohon hukuman setimpal.
Peguam Luke Ressa Balang yang mewakili Faizul memohon denda rendah atas sebab pistol itu tidak pernah digunakan dan tidak boleh digunakan kerana sudah rosak, berdasarkan laporan polis.
Faizul didakwa mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun dan denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Dalam kes lain, seorang lelaki berusia 23 tahun didenda RM100 atau penjara sehari kerana menyimpan motosikal yang dipercayai dicuri.
Shahril Aznie mengakui menyimpan motosikal milik Azrol Fikri, yang dia gagal jelaskan secara memuaskan bagaimana dia mendapatnya pada pukul 10.10 pagi 15 Jun tahun ini di Tuaran.
Dia didakwa mengikut Seksyen 22A(1) Ordinan Kesalahan Kecil yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100 atau penjara sehingga tiga bulan, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.