JURUTEKNIK Majlis Daerah Papar dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) digesa untuk meningkatkan pengawasan mereka terhadap Jalan Papar Spur dan Taman Luyang, selepas masalah fotosel untuk lampu jalan menyebabkan kawasan-kawasan ini kurang pencahayaan untuk beberapa lama, baru-baru ini.
Sementara itu, Majlis Daerah Penampang berharap dapat memulihkan pencahayaan di sepanjang sebahagian Jalan Bundusan selewatnya bulan depan, sebaik panel kawalan baharu untuk lampu jalan di sini dipasang.
Tindakan ini berikutan maklum balas daripada seorang pemandu dari Papar, serta pemilik rumah di Luyang dan Penampang mengenai masalah berkaitan pencahayaan awam di lokasi masing-masing.
Pengadu pertama tidak faham kenapa lampu jalan di Jalan Papar Spur dihidupkan pada waktu siang tetapi tidak pada waktu malam.
Pemilik rumah di Luyang berkata kebanyakan kawasan umum di sekitar kejiranannya diselubungi kegelapan kerana lampu ini hanya berfungsi sekejap-sekejap.
Pemilik rumah di Penampang pula bimbang rumahnya di Taman Reservoir Fasa 2 mungkin dipecah masuk pada waktu malam.
Katanya, kawasan di belakang rumahnya yang berhampiran dengan Jalan Bundusan sudah berbulan-bulan tidak diterangi.
Seorang jurucakap Majlis Daerah Papar berkata kakitangannya pergi ke Jalan Papar Spur sejurus selepas dihubungi Hotline.
LAMPU jalan di Jalan Papar Spur masih menyala sekitar jam 11 pagi pada satu Isnin dalam bulan ini.
“Mereka pada mulanya mengesyaki bahawa pemasa untuk lampu-lampu ini mungkin tidak berfungsi seperti yang patut,” katanya.
“Bagaimanapun, setelah pemeriksaan lanjut, mereka mendapati ada yang tidak kena dengan fotosel untuk kemudahan ini.”
Dia berkata juruteknik agensi itu membaiki komponen yang rosak dan juga membersihkan tumbuhan menjalar yang tumbuh di atas panel kawalan di kawasan ini.
“Kakitangan kami memantau jalan itu selama beberapa hari berikutnya untuk memastikan lampu menyala selepas matahari terbenam dan padam selepas matahari terbit.
“Mereka juga memeriksa untuk memastikan mekanisme di dalam panel kawalan berfungsi dengan baik.”
Jurucakap itu berkata, juruteknik Majlis telah diminta untuk lebih tekun memeriksa lampu-lampu awam di bawah penyelenggaraannya.
Bagaimanapun, dia mengakui mereka sering menghadapi kesukaran untuk melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Kawasan penarafan kami terbentang dari Lok Kawi hingga Bongawan.
“Kami tidak mempunyai tenaga kerja yang mencukupi untuk meliputi kawasan yang begitu luas. Kalaupun cukup, ia mustahil untuk kakitangan kami berada di semua tempat sekali gus.”
JURUTEKNIK agensi kembali pada waktu malam untuk memastikan mekanisme di dalam panel itu berfungsi.
Dia berkata agensi itu bakal menyerahkan tanggungjawab atas lampu-lampu di jalan utama dan jalan negeri di sekitar daerah ini kepada Jabatan Kerja Raya.
“Sehingga masa itu, juruteknik Majlis akan cuba berusaha sedaya upaya untuk memastikan kawasan awam ini diterangi secukupnya pada waktu malam.”
Seorang jurucakap DBKK berkata, kontraktor yang bertanggungjawab menyelenggara lampu di Luyang, telah dimaklumkan mengenai beberapa kawasan gelap di Taman Luyang.
“Sebuah jentera Skymaster telah dikerahkan ke kejiranan itu untuk memudahkan usaha memeriksa keadaan kemudahan ini,” katanya.
“Fotosel untuk beberapa lampu di sini didapati rosak.”
SEBAHAGIAN besar Jalan Bundusan, dari bulatan ini berhampiran Gereja Mary Immaculate, berada dalam keadaan gelap selama berbulan-bulan.
Dia berkata pembaikan dibuat serta-merta, dengan pekerja kontraktor juga menangani masalah pendawaian jika perlu.
“Pemeriksaan dibuat terhadap jalan perumahan di sini, sekali-sekala, selama seminggu, sebelum kontraktor mengesahkan lampu-lampu itu berfungsi dengan baik.
“Bagaimanapun, kami telah memintanya membuat pemeriksaan berkala bagi memastikan masalah pencahayaan tidak berulang.”
Seorang jurucakap Majlis Daerah Penampang berkata seorang kontraktor baru sahaja diberi tugas untuk memasang panel kawalan baharu di Jalan Bundusan.
“Dia telah menerima surat pelantikannya dan bakal memulakan kerja memasang panel ini minggu depan,” katanya pada 14 Julai.
Dia menjelaskan bahawa ada pemandu tidak dikenali telah melanggar panel sebelumnya, awal tahun ini.
Perumah untuk panel itu didapati telah terkoyak dari dasarnya, dengan mekanisme di dalamnya rosak sepenuhnya, menurut jurucakap itu.
“Usaha kami untuk cuba mengenal pasti pelakunya, setakat ini tidak berjaya.
“Polis tidak tahu mengenai kejadian ini, sehingga kami memaklumkan mereka.
PANEL kawalan yang rosak di Jalan Bundusan.
“Kami mengesyaki bahawa sesiapa yang merempuh panel itu tidak membuat tuntutan insurans untuk kerosakan kenderaannya.”
Sebab itu, katanya, Majlis tidak mempunyai pilihan selain memanggil sebut harga untuk menggantikan panel itu.
SELMA dari Papar sedang memandu di Jalan Papar Spur kira-kira jam 11 pagi Isnin baru-baru ini, apabila dia menyedari lampu di pembahagi jalan itu menyala.
“Saya tertanya-tanya siapa yang akan menanggung kos untuk penggunaan elektrik berlebihan ini,” katanya.
Dia berkata pembaziran sedemikian tidak boleh diterima memandangkan Sabah Electricity Sdn Bhd menggesa agar penggunanya menjimatkan kuasa dan mengekang penggunaan kuasa berlebihan.
“Saya menggunakan jalan ini kemudiannya pada malam itu apabila saya pergi menjemput suami saya dari pejabatnya di Bandaraya.
“Malangnya, tiada satu pun lampu jalan menyala.”