Kota Kinabalu: Lima nelayan Vietnam didenda berjumlah RM700,000 kerana menangkap ikan secara haram di perairan Malaysia.
Mereka adalah juragan Huynh Cu, 54, anak kapal Dang Van Ty, 38, Pham Van Thong, 31, Le Thanh Bao, 39, dan Nguyen Thang Lam, 40.
Kesemua mereka mengaku bersalah secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz ketika pertuduhan dibacakan dalam bahasa Vietnam. Huynh didenda RM500,000 atau empat bulan penjara manakala semua anak kapal diperintah membayar denda RM50,000 atau tiga bulan penjara masing-masing.
Nelayan itu ditahan jam 4.31 petang pada 4 Julai tahun ini di dalam sebuah kapal asing di kawasan perairan Tanjung Kaitan, di sini kerana menangkap ikan di perairan Malaysia tanpa sebarang permit daripada ketua pengarah Jabatan Perikanan.
Kesalahan di bawah Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(a) Akta sama itu yang dibaca bersama mengikut Seksyen 34 Kanun Keseksaan, memperuntukkan hukuman denda sehingga RM6 juta untuk juragan, dan RM600,000 untuk setiap anak kapal, jka sabit kesalahan.
Semasa mitigasi, semua warga Vietnam itu merayu hukuman ringan dan dihantar pulang ke kampung halaman mereka secepat mungkin.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Nurun Nazifah Muhammad Iyen menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman pencegahan atas alasan penangkapan ikan secara haram yang dilakukan oleh nelayan asing sangat berleluasa di negara ini terutama di perairan Sabah. Beliau berkata kesalahan yang dilakukan warga Vietnam itu melibatkan kepentingan awam dan turut menekankan kepentingan pemuliharaan habitat marin.
Semua anak kapal diperintah dirujuk ke Jabatan Imigresen selepas membayar denda atau menjalani hukuman penjara.
Mahkamah memerintahkan bot dan peralatan yang dirampas itu dilupuskan oleh Kerajaan Malaysia mengikut Seksyen 52(1)(a) Akta Perikanan 1985.