Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengadakan jerayawara Program GRS Bersama Rakyat di setiap kawasan parlimen negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata jerayawara itu akan bermula Ogos ini.
Hajiji, yang juga Pengerusi GRS, berkata demikian selepas Mesyuarat Majlis Tertinggi GRS di Ibu Pejabat GRS, Alamesra, di sini, pada Ahad.
Katanya, Mesyuarat GRS pada Ahad juga membincang mengenai persiapan Pilihan Raya Parlimen yang dijangka diadakan pada bila-bila masa.
“Kita perlu mengadakan persiapan lebih awal agar jentera pilihan raya GRS bersiap siaga menghadapi pilihan raya umum akan datang”, tegasnya.
Hajiji berkata, mesyuarat kali ini tidak membincangkan tentang permohonan parti-parti politik yang berminat menyertai GRS.
“Setakat ini belum ada sebarang keputusan mengenai penerimaan lain-lain parti ke dalam GRS.
“Perkara ini akan dibincangkan dalam mesyuarat akan datang”, tambahnya.