Kota Kinabalu: Pasukan Sukma C muncul juara dalam Kejohanan Boling Padang Mix Triples Keningau yang berakhir pada Ahad di Kompleks Sukan Keningau.
Pasukan diwakili Amirul Arispadillah, Manaf Soujour dan Zarifah Wahidah itu menewaskan Saralia Larazarus, Supian Buang dan Adilah dari Pasukan SDS KK 15-12 di final untuk membawa pulang hadiah kemenangan RM1,800 sementara finalis yang tewas menerima RM1,200.
Berkongsi tempat ketiga ialah Pelapis A (Adilah Justine, Suzileyana Zosmi, Elldy Maxcanzie Zosmi) dan LSS KK (Mohd Affendy Tan, Hairi Hamzah, Zella Aaron), dan setiap pasukan menerima RM900.
Sejumlah 25 pasukan dari seluruh negeri mengambil bahagian dalam kejohanan tiga hari anjuran Persatuan Boling Padang Sabah (SLBA) itu.
Majlis penutupan dirasmikan oleh Presiden SLBA Datuk Ladislaus Maluda yang turut menyampaikan hadiah. Turut hadir ialah timbalan presiden merangkap pengerusi penganjur Shuib Hashim.