Kota Kinabalu: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan membuat keputusan mengenai permohonan parti tempatan yang mahu menyertai gabungan itu pada Oktober depan, kata Pengerusinya Datuk Seri Hajiji Noor.
Ketua Menteri Sabah itu berkata isu permohonan beberapa parti untuk menyertai GRS tidak dibincangkan pada mesyuarat minggu lepas, dan akan dibawa pada mesyuarat gabungan itu pada Oktober nanti.
“Jadi di sana nanti (mesyuarat Oktober) baru kita akan putuskan (permohonan) itu,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan Biasiswa Cemerlang Negeri Sabah di sini pada Selasa.
Bulan lepas Hajiji dilaporkan berkata empat parti tempatan di Sabah telah menyatakan hasrat menyertai GRS, namun beliau tidak menyatakan nama parti-parti berkenaan.
GRS dianggotai lima parti iaitu Bersatu Sabah, Parti Bersatu Sabah (PBS), Parti Solidariti Tanah Airku (Star), Parti Maju Sabah (SAPP) dan Pertubuhan Kebangsaan Sabah Bersatu (Usno), selain membentuk kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) dalam mentadbir kerajaan Sabah.
Sementara itu, Hajiji berkata GRS sedang bersiap sedia untuk menghadapi pilihan raya umum akan datang yang akan diadakan selewat-lewatnya September tahun depan.
Hajiji yang merupakan pengerusi gabungan itu berkata, pihak tertentu menggembar-gemburkan ia boleh diadakan seawal tahun ini sekali gus percaya mereka perlu bersedia sekarang.
“Tetapi GRS sentiasa bersedia. Ahad lalu satu perjumpaan dengan ketua komponen telah diadakan bagi membincangkan persiapan.
“Jadi kita telah mengarahkan jentera pilihan raya diaktifkan di setiap kawasan pilihan raya.
“Kami juga mengadakan program jerayawara di seluruh Sabah pada bulan Ogos untuk bertemu pengundi masa depan,” katanya.