Fri, 12 Jun 2026
Headlines:
Kebersihan, akses tandas jadi isu
Published on: Wednesday, July 27, 2022
Published on: Wed, Jul 27, 2022
By: Sidney Skinner
Text Size:
Text:
Kebersihan, akses tandas jadi isu
Kiri: Petugas BPTA meninjau tandas kelab itu bersama seorang pekerja premis. Kanan: Paip di dalam tandas didapati tidak mempunyai air semasa pemeriksaan itu.
SEORANG pemilik premis di Inanam diarahkan untuk menambah baik kebersihan tandas di restorannya, manakala pihak pengurusan sebuah bank antarabangsa telah dinasihatkan untuk mempertimbangkan memberi akses tandasnya kepada warga emas dan orang kurang upaya di cawangannya di Ibu Negeri.

Pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) mengunjungi kedai makan dan institusi kewangan itu baru-baru ini susulan maklum balas daripada dua wanita berlainan mengenai masalah yang mereka hadapi ketika cuba menggunakan tandas di kedua-dua premis.

Advertisement
Seorang pelanggan dari Luyang mengeluh mengenai ketidakupayaannya untuk mengepam tandas atau mencuci tangan ketika dia pergi makan malam di restoran itu.

Sebaliknya, seorang pesara dari Sembulan mengadu mengenai protokol tidak bertimbang rasa bank berkenaan yang menghalangnya daripada menggunakan tandas di dalam premis apabila perlu membuang air.

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Mereka memberikan Hotline masa dan tarikh kejadian masing-masing, yang diserahkan kepada agensi.

Seorang jurucakap Jabatan Kesihatan Persekitaran DBKK berkata kakitangannya di Bahagian Pengurusan Tandas Awam (BPTA) menemui tong air di dalam tandas lelaki dan wanita di restoran itu.

KAKITANGAN agensi bertanya kepada pekerja kedai makan itu mengenai keadaan tandas yang tidak memuaskan.

Advertisement
Bagaimanapun, kandungan air di dalam tong-tong ini tidak cukup untuk digunakan pelanggan, apatah lagi untuk membersihkan tandas itu, menurutnya.

“Pekerja restoran itu mengakui, ketika itu, bahawa mereka sukar membersihkan tandas kerana kekurangan air di premis tersebut,” katanya.

Advertisement
“Pegawai kami, bagaimanapun, mendapati kelab rekreasi di kawasan sama dengan kedai makan itu tidak menghadapi masalah bekalan.”

Dia berkata mereka mendapati tandas kelab itu bersih dan dalam keadaan teratur.

“Namun pekerja kelab itu ada mengatakan bahawa tekanan air yang memasuki bangunan itu lemah dalam beberapa minggu sebelum pemeriksaan ini.”

Jurucakap itu berkata BPTA tidak faham bagaimana satu premis boleh mendapat bekalan sedangkan premis satu lagi, yang berada di sebelahnya saja, tidak menerimanya.

Dia berkata kelab dan kedai makan itu diuruskan oleh pihak berbeza.

“Kami telah memaklumkan penemuan kami kepada pihak yang mengendalikan restoran itu dan sedang dalam proses menyediakan notis yang akan diserahkan kepada pemiliknya.

“Individu itu secara rasmi akan diminta mempertingkatkan penyelenggaraan tandas kedai makan itu, termasuk membaik pulih sebarang kelengkapan rosak di dalamnya.

STAF DBKK memeriksa tandas restoran itu di Inanam.

“Selain itu, dia akan diminta untuk menambah bilangan tangki air restoran supaya tandas dan paip di dalamnya dapat berfungsi sebagaimana yang patut.”

Dia berkata pemilik akan diberikan tempoh ihsan untuk mematuhi arahan ini.

“Pemeriksaan susulan akan dilakukan selepas ini. Sekiranya kami mendapati bahawa nasihat kami tidak dipatuhi, maka tindakan selanjutnya akan diambil.”

Dalam kes bank tersebut di Bandaraya, jurucakap itu berkata pasukan BPTA dihalang daripada mengesahkan keadaan tandas di dalam institusi kewangan itu.

“Kakitangan kami diberitahu bahawa, mengikut dasar bank dan atas sebab keselamatan, kemudahan ini adalah eksklusif bagi pekerja dan pengurusan syarikat.

“Pelanggan bank diminta untuk menggunakan tandas awam jika mereka ingin membuang air.”

Tandas awam terdekat terletak kira-kira 50-60 meter dari institusi kewangan itu, di seberang jalan utama dengan lalu lintas dua-hala.

Jurucakap itu berkata kakitangan BPTA merayu kepada kakitangan bank, yang berurusan dengan mereka, untuk bercakap dengan pihak atasannya tentang membuat pengecualian bagi pemegang akaun yang sudah tua atau cacat.

“Kami menggesa syarikat untuk menunjukkan sedikit timbang rasa kepada individu-individu ini, atas dasar belas kasihan, sekiranya mereka perlu menggunakan tandas dalam keadaan kecemasan ketika mereka sedang menunggu proses transaksi mereka di premis itu.”

WONG, yang mengalami masalah inkontinens, berkata dia tiba-tiba berasa perlu pergi ke tandas, sementara menunggu kakitangan bank itu untuk membuka akaun simpanan.

“Saya dan anak perempuan saya telah menunggu lebih setengah jam untuk akaun itu disediakan,” katanya.

“Saya sudah tidak dapat tahan untuk membuang air kecil pada masa itu dan bimbang saya mungkin mengotorkan diri saya dan perabot bank, jadi saya bertanya kepada kakitangan Khidmat Pelanggan sama ada saya boleh pergi ke salah satu tandas di dalam premis itu.

“Saya terkejut, apabila dia meminta saya pergi ke tandas awam di luar bangunan itu.”

Warga berusia 85 tahun itu menyatakan bahawa dia agak sukar berjalan dan terpaksa menyeberangi jalan yang sibuk pada pagi hari bekerja untuk sampai ke tandas luar ini, tetapi kakitangan bank itu enggan berganjak.

“Dia memberitahu kami bahawa kami boleh kembali pada satu masa kemudian untuk menyelesaikan transaksi, jadi kami pergi supaya anak perempuan saya dapat mencari tandas untuk saya gunakan.”

Sementara itu, MUN dari Luyang meluahkan rasa terkilannya mengenai bau busuk dari tandas wanita di restoran itu.

Dia mendapat tanggapan bahawa pekerja kedai makan itu mungkin lalai dalam tanggungjawab mereka.

“Saya terkejut apabila mendapati pam di dalam kamar tandas yang saya masuki tidak berfungsi,” katanya.

“Memburukkan lagi keadaan, saya tidak dapat membilas tangan saya kerana semua paip di singki tidak mempunyai air.”

Dia berkata ini bukan kali pertama dia menghadapi masalah ini di kedai makan itu.

“Saya perasan perkara ini, kali terakhir saya makan di restoran beberapa tahun lalu.”

Mun berkata keadaan tandas yang menyedihkan itu sangat tidak boleh diterima, memandangkan orang ramai perlu sentiasa memastikan tangan mereka bersih agar tidak dijangkiti Covid-19.

“Saya harap DBKK akan menyelesaikan masalah ini.

“Pihak agensi harus memberi keutamaan untuk memastikan tandas beroperasi dan sentiasa bersih supaya pengunjung kali pertama termasuk pelancong luar negara tidak mendapat tanggapan negatif terhadap Ibu Negeri.”
* Follow us on our official WhatsApp channel and Telegram for breaking news alerts and key updates!

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here