Kota Kinabalu: Seorang kontraktor berusia 42 tahun didakwa atas tuduhan membenarkan 15 pendatang tanpa izin (PTI) tinggal di premisnya.
Danny Tan Eng Hock mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, kepada pertuduhan terhadapnya pada Khamis.
Dia dituduh membenarkan 15 warga Filipina berumur antara 16 dan 50 tahun, yang tidak mempunyai sebarang dokumen, memasuki tapak pembinaan Rumah Retreat dua tingkat yang dicadangkan di Kelab Golf Gunung Kinabalu.
Kesalahan itu didakwa berlaku pada jam 9.45 pagi 9 Dis 2021 di Dataran Tinggi Pinosuk, Kundasang, Ranau.
Tan didakwa mengikut Seksyen 55E(2) Akta Imigresen 1959/63 yang membawa hukuman penjara sehingga setahun, atau denda antara RM5,000 dan RM30,000, atau kedua-duanya, bagi setiap pendatang tanpa izin terbabit.
Mahkamah menetapkan 25 Ogos untuk pengurusan kes dan 12 Mei tahun depan untuk perbicaraan kes.
Sementara menunggu tarikh itu, Tan dilepaskan dengan ikat jamin RM20,000 berdeposit RM10,000 dan dua penjamin tempatan.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Abdul Lamit dari Jabatan Imigresen mencadangkan jaminan RM30,000 dan dua penjamin tempatan.
Bagaimanapun, peguam Lim Chun Yuan yang mewakili Tan, memohon ikat jamin dikurangkan dengan mengatakan ikat jamin tidak boleh terlalu tinggi kerana Tan menanggung lima anak.
Mahkamah dimaklumkan bahawa pihak pendakwaan akan memanggil tiga saksi semasa perbicaraan.