Kota Kinabalu: Seorang bekas pengarah dan pegawai kanan agensi kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana dipercayai mengemukakan tuntutan palsu bernilai lebih RM175,000 dan meminta wang suapan berjumlah hampir RM60,000 daripada pihak kontraktor.
Kedua-dua suspek lelaki yang berusia dalam lingkungan 44 hingga 50 tahun tersebut ditahan di Pejabat SPRM Kota Kinabalu hari ini sekitar jam12.30 tengahari ketika hadir memberi keterangan, menurut kenyataan media SPRM.
Menurut sumber, kedua-dua suspek telah menggunakan lesen beberapa syarikat bagi melakukan tuntutan palsu berhubung kerja-kerja pembekalan makanan dan minuman berjumlah lebih RM175,000 namun tiada pembekalan mahupun program dilaksanakan oleh pihak terbabit.
Kedua-dua suspek tersebut akan dibawa ke Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, Sabah esok (Rabu) bagi tujuan permohonan reman.