Kota Kinabalu: Seorang peserta Unduk Ngadau (PBB) 2021 yang didakwa dicabul oleh ketua teknikal pertandingan itu, berkata kejadian itu telah meninggalkan kesan emosi.
Wanita berusia 22 tahun itu berkata dia tidak mereka-reka cerita mengenai kejadian yang menyebabkan hidupnya trauma itu.
“Laporan polis yang saya buat adalah benar dan semua cerita dari apa yang saya sendiri lalui. Ini adalah ‘trauma terbesar dalam hidup saya”, kata wanita itu semasa pemeriksaan semula oleh Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Mazlan pada Rabu.
Menurut wanita itu, dia sendiri yang membuat laporan polis dan bukan teman lelakinya kerana bimbang dengan keselamatannya selepas kejadian itu.
Wanita yang didakwa sebagai mangsa dalam kes itu adalah saksi pertama yang memberi keterangan di hadapan Majistret Stephanie Sherron Abbie, dalam perbicaraan membabitkan Philip Among (gambar) yang didakwa atas empat pertuduhan mencabul peserta.
Saksi itu seterusnya memberi keterangan bahawa pada mulanya dia membuat laporan polis hanya untuk keselamatannya kerana dia tidak mahu memperbesarkan perkara itu dan pertandingan Unduk Ngadau itu pula masih berjalan dan menghormati Philip sebagai salah seorang jawatankuasa pertandingan itu.
Wanita itu berkata selepas kejadian itu dia tidak menyertai rakaman video yang diaturkan oleh Philip kerana video itu hanya untuk mendapatkan undian daripada orang ramai tetapi ia tidak wajib.
Dia menambah bahawa dia membuat laporan polis untuk keselamatannya supaya Philip tidak mengganggu sehingga keputusan pemilihan Unduk Ngadau Negeri diumumkan.
Jelas saksi itu, dia tidak bersetuju dengan pembelaan bahawa dia tidak berpuas hati dengan Philip kerana dia tidak mahu membantunya untuk membeli undi, kerana Philip tidak pernah menawarkan kepadanya untuk membeli undi untuknya.
Dia berkata sebagai Unduk Ngadau yang mewakili daerahnya, dia mahu bersaing secara sihat dan jika Philip menawarkan untuk membeli undi untuknya, dia tidak akan bersetuju dengan itu.
Saksi itu menjelas lanjut bahawa semasa pertandingan UN 2021, untuk memasuki kumpulan 15 terbaik, peserta mesti mendapat undian daripada orang ramai dan dia memaklumkan Philip bahawa dia datang daripada keluarga miskin dan tidak mampu untuk membeli tiket undian.
Dia berkata, Philip kemudian memaklumkan kepadanya bahawa dia akan membantu mempromosikannya melalui rakaman video yang dianjurkan olehnya, menambah sebelum dia datang ke Kota Kinabalu, dia sudah memberitahu Philip bahawa dia tidak mempunyai bajet dan Philip telah berjanji untuk membantu dan menajanya.
Jelas saksi itu, dia betul-betul mahu tersenarai dalam kumpulan 15 terbaik dalam kalangan peserta pertandingan UN 2021.
Philip, 52, dituduh mencabul peserta UN itu pada 19 Mei 2021 pada pukul 2 petang, 3.30 petang, 9.45 malam dan 10 malam, masing-masing di tangga bersebelahan Ever Best Photo in Asia City, di Studio Darvel Bay Borneo Holidays Sdn Bhd di Asia City, di dalam sebuah kenderaan bergerak semasa dalam perjalanan dari tempat makan malam ke sebuah pejabat lama di bandaraya dan di sebuah pejabat di Metro Town.
Dia didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda atau dengan sebatan atau dengan mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Terdahulu, semasa pemeriksaan balas oleh peguam Azhier Farhan Arisin, saksi itu bersetuju bahawa dia masih mengingati kejadian itu walaupun selepas setahun tetapi berusaha sedaya upaya untuk melupakan kejadian yang menyebabkan dia trauma dalam hidupnya.
Dia juga bersetuju dengan Azhier bahawa dialah yang memilih pakaian tanpa bahagian belakang, tetapi dicadangkan oleh Philip.
Saksi itu seterusnya bersetuju bahawa pakaian yang dipakainya ketika itu menyebabkan dia sukar untuk bergerak, dan Philip telah membantunya.
Azhier dan peguam Abdul Fikry Jaafar Abdullah mewakili Philip, manakala peguam Kovent E. Jomiji menjadi pemerhati bagi pihak mangsa.
Mahkamah menetapkan 3 – 4 Okt untuk sambungan perbicaraan dan pihak pendakwaan memberitahu mahkamah bahawa kira-kira tujuh saksi akan dipanggil dalam perbicaraan.