KOTA KINABALU: Polis sedang mengesan seorang lelaki bagi membantu siasatan kes curi di sebuah premis di Pusat Komersial 88, Kepayan, di sini, pada 28 Julai.
Kejadian itu hanya disedari pekerja kedai berkenaan kira-kira jam 1 petang, Selasa lalu, menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di premis itu.
Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, kes kecurian membabitkan dua botol wiski.
“Siasatan awal mendapati kejadian membabitkan hanya seorang suspek yang dirakam mencuri minuman keras itu,” katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Zaidi turut meminta orang ramai supaya menyalurkan maklumat sekiranya mengenali suspek dan sebarang maklumat boleh disalurkan ke balai polis berhampiran.