Kota Kinabalu: Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR Sabah) Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata kelulusan Rang Undang-undang (RUU) lompat parti di Dewan Rakyat sudah lama dinantikan. Beliau berkata STAR telah menyokong RUU itu dan ia akan menyokong gesaan untuk menggubal RUU lompat parti di Dewan Undangan Negeri Sabah.
“RUU lompat parti pernah diluluskan semasa Kerajaan Negeri pimpinan PBS.
“Jadi sebenarnya Kerajaan Sabah boleh dikatakan yang pertama meluluskan undang-undang ini,” katanya sebagai menjawab cadangan Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Dr Maximus Ongkili untuk menggubal undang-undang itu dalam tempoh 60 hari susulan kelulusan RUU itu di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Jeffrey yang merupakan Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pertanian dan Perikanan berkata pindaan yang diterima pakai dalam Perlembagaan Sabah ketika itu dicabar.
Beliau berkata Mahkamah Tinggi mengisytiharkan undang-undang lompat parti adalah tidak berperlembagaan kerana ia bertentangan dengan kebebasan berpersatuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Jadi, sebab itu sebelum undang-undang lompat parti diluluskan, perlembagaan perlu dipinda.
“Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan kebebasan berpersatuan kini telah dipinda untuk menampung undang-undang lompat parti,” katanya.