TAWAU: Polis belum menerima sebarang laporan daripada mana-mana pihak berhubung dakwaan cubaan menculik kanak-kanak sekolah di SK Balung yang dikatakan berlaku Isnin lepas yang mana mesej berkaitan perkara itu tular di media sosial pada Jumaat.
Ketua polis daerah Tawau, ACP Jasmin Hussin bagaimanapun, berkata, pihaknya sedang mengumpulkan maklumat bagi mendapatkan kesahihan perkara itu.
Menurut mesej yang tular itu, kejadian didakwa berlaku pada 1 Ogos lepas pada waktu petang (masa tidak dinyatakan) dan sasaran penculik adalah murid pra-sekolah.
Mesej itu menyatakan bahawa satu kes cubaan menculik gagal selepas disedari seorang guru dan pengawal keselamatan sekolah tersebut.
Penculik didakwa cuba mengumpan kanak-kanak pra-sekolah itu dengan memberi gula-gula serta wang dan mangsa cuba menolak pujukan penculik sehingga suspek menggunakan paksaan dengan cuba menarik tangan mangsa.
Seorang guru dan pengawal keselamatan sekolah yang menyedari kejadian itu menjerit ke arah suspek penculik lelaki berkulit cerah itu yang kemudian segera meninggalkan mangsa dengan menaiki kereta Proton Saga Aeroback berwarna putih.
Di akhir mesej tersebut memberi peringatan supaya semua pihak mengawasi anak-anak kerana kes itu disifatkan sebagai satu sindiket jenayah yang serius.