Kota Kinabalu: Seorang penganggur berusia 23 tahun dijatuhi hukuman penjara tujuh tahun dan dikenakan satu sebatan kerana menyamun telefon bimbit seorang wanita menggunakan pisau.
Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohd Sikri Bidin yang mengaku bersalah kepada pertuduhan terhadapnya pada Isnin.
Dia menyamun telefon bimbit milik Mastinah Gapur, 42, bernilai RM1,200, dengan menggunakan senjata itu pada pukul 7.05 pagi 22 Julai tahun ini di Bukit Tampalagus di Kg Melalia, Sipitang.
Kesalahan mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 14 tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Mohd Sikri menjalani hukuman penjara dari tarikh dia ditangkap dan juga memerintahkan supaya telefon bimbit itu dikembalikan kepada pemilik sebenar.
Semasa rayuan, Mohd Sikri yang tidak diwakili, memohon hukuman ringan dengan mengatakan dia betul-betul terdesak ketika itu kerana tidak dapat membeli makanan.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Adibah Saiful menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan atas sebab ia merupakan kesalahan serius dan semasa melakukan jenayah itu, tertuduh menggunakan pisau untuk merompak mangsa.
Mahkamah mendengar kejadian berlaku ketika mangsa sedang berjalan seorang diri di kawasan itu apabila seorang lelaki tidak dikenali yang menunggang motosikal menghampirinya, mengacukan pisau dan memintanya menyerahkan telefon bimbitnya.
Mangsa menyerahkan telefon bimbitnya kerana bimbangkan keselamatannya.
Lelaki yang kemudiannya dikenali sebagai Mohd Sikri itu melarikan diri dari tempat kejadian selepas mengambil telefon bimbit mangsa.
Susulan laporan polis, Mohd Sikri telah ditahan pada 25 Julai tahun ini dan telefon bimbit milik mangsa ditemui.
Pada 27 Julai tahun ini, mangsa dipanggil untuk mengenal pasti Mohd Sikri sebagai orang yang menyamunnya.