Sat, 27 Apr 2024

HEADLINES :


'Pegawai awam perlu bersikap positif apabila terima teguran'
Published on: Wednesday, August 10, 2022
By: Bernama
Text Size:

'Pegawai awam perlu bersikap positif apabila terima teguran'
PUTRAJAYA: Teguran kepada ketidakpatuhan prosedur yang boleh menjejaskan kedaulatan negara dan integriti kerajaan perlu dibuat semua pihak yang bertanggungjawab terutamanya ketua jabatan tanpa sebarang alasan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran bertarikh 8 Ogos 2022 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Mohd Shafiq Abdullah (gambar).

Edaran itu menyatakan ketidakpatuhan dan kecuaian pegawai awam berkenaan perkara berkaitan keselamatan dan kedaulatan negara hendaklah diambil tindakan dengan serta-merta tanpa kompromi atau elemen pilih kasih terutamanya apabila melibatkan keselamatan di pintu utama keluar masuk negara.

Merujuk kepada Dasar Keselamatan Negara 2021-2025, edaran itu menyatakan bahawa menjaga keselamatan dan kedaulatan negara adalah tanggungjawab bersama iaitu semua pegawai awam dan rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

“Kedaulatan dan keutuhan wilayah merupakan teras kepada kestabilan dan keselamatan sesebuah negara,” demikian edaran yang turut diedarkan kepada pejabat Ketua Setiausaha Negara dan semua kementerian.

Ia turut merujuk kepada Teras 8 dalam dasar itu berkaitan aktiviti agensi penguatkuasaan undang-undang yang jika tidak ditadbir urus dengan baik mengikut peraturan dan undang-undang akan menyebabkan kesan domino atau berantai yang negatif kepada keselamatan ekonomi, ketenteraman dan keselamatan awam serta keselamatan masyarakat dan sosial.

Sehubungan itu, katanya setiap pegawai awam hendaklah sentiasa bersikap positif apabila menerima pandangan, cadangan atau teguran daripada mana-mana pihak berkepentingan termasuk pegawai atasan dalam usaha untuk memperbaiki dan mempertingkatkan penyampaian perkhidmatan awam.

“Seorang pegawai awam juga hendaklah menunjukkan sikap yang responsif terhadap maklum balas dan aduan daripada pelanggan perkhidmatan awam.

“Seseorang pegawai awam yang ditegur sama ada oleh orang awam atau penyelia atau rakan sejawat atau pegawai atasan yang berpunca dari penyampaian perkhidmatan yang kurang memuaskan tidak sepatutnya bertindak balas dengan melakukan provokasi kepada pihak yang membuat teguran,” demikian menurut edaran itu. 

Provokasi melampau bagi meraih perhatian umum atau dijadikan bahan viral boleh disifatkan sebagai tidak bertanggungjawab dan bertentangan dengan budaya kerja pegawai awam serta bertentangan dengan peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa.

Peraturan 3D Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993] memperuntukkan tanggungjawab kepada KPPA untuk memantau pelaksanaan tindakan tatatertib ke atas pegawai awam yang melanggar peraturan oleh ketua jabatan.

Selain itu, Peraturan 3C (1) Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U(A) 395/19931 juga meletakkan tanggungjawab ke atas seorang ketua jabatan untuk menjalankan kawalan dan pengawasan pegawai di bawah seliaannya serta mengambil tindakan yang sesuai dengan seberapa segera yang mungkin bagi apa-apa pelanggaran peruntukan di bawah peraturan tersebut.

“Mana-mana Ketua Jabatan yang didapati gagal menjalankan pengawasan ke atas pegawai bawahannya, hendaklah disifatkan cuai dalam melaksanakan tugasnya dan tidak bertanggungjawab, dan dia boleh dikenakan tindakan tatatertib seperti yang diperuntukkan di bawah peraturan 3C(2),” menurut surat edaran itu.

Sehubungan itu, semua pegawai awam perlu menghindari daripada membuat sebarang pernyataan awam yang boleh memberikan implikasi kepada nama baik perkhidmatan awam dan kerajaan.

“Seorang pegawai awam juga tidak boleh bertindak atau terlibat menyebarkan berita palsu, membuat tohmahan atau fitnah yang melibatkan pegawai awam yang lain sehingga membelakangkan tugas awam demi mencapai kepentingan atau agenda peribadi.

Perkara itu jelas diperuntukkan di bawah Peraturan-peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 [P.U.(A) 395/1993], demikian menurut edaran itu. 

Selain itu, pegawai awam juga dilarang daripada menyalah guna hak kebebasan untuk bersuara dan menyalahguna kecanggihan teknologi untuk mencapai agenda peribadi sehingga melanggar peraturan-peraturan dan undang-undang yang berkuatkuasa, yang selama ini menjadi paksi dalam perkhidmatan awam negara.

“Jabatan Perkhidmatan Awam tidak boleh dan tidak akan berdiam diri dengan membiarkan mana-mana pegawai awam difitnah dan diperlakukan secara tidak adil oleh mana-mana pihak lain yang bertujuan mencapai agenda peribadi yang tidak baik,” menurut edaran itu.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here