TAWAU: Seorang pemandu Jabatan Tenaga Kerja (JTK) di sini didenda RM5,000 atau enam bulan penjara oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini, Selasa, atas kesalahan menerima suapan RM1,000 enam tahun lalu.
Rhymei Kasim, 54, dijatuhi hukuman oleh Hakim Mahkamah Sesyen Jason Juga selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan alternatif menerima wang tunai RM1,000 daripada pengurus Al-Baik Textiles Samsudeen Rabeek.
Pertuduhan menyatakan Samsudeen mempunyai hubungan dengan kerja rasmi Rhymei iaitu Al-Baik Textiles yang dikompaun oleh JTK atas kesalahan mengikut Seksyen 18 (1) Ordinan Buruh kerana gagal memberikan Kontrak Perkhidmatan bertulis kepada dua pekerjanya.
Rhymei melakukan kesalahan itu di Bank Rakyat Cawangan Tawau pada 14 April, 2018.
Dia didakwa di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Rhymei pada 12 Mac, 2020, didakwa atas tiga pertuduhan utama mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) membabitkan rasuah berjumlah RM5,000.
Jason pada Selasa menarik balik pertuduhan utama Rhymei selepas dia mengaku bersalah terhadap pertuduhan alternatif, berikutan permohonan pihak pendakwaan untuk menarik balik semua pertuduhan utama terhadapnya.
Pendakwaan dilakukan oleh pegawai pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Norsham Saharom.
Rhymei diwakili oleh Johari, Zelika & Amin Co.