Sat, 13 Jun 2026
Headlines:
Saluran pembetung dipantau sementara tunggu pam kumbahan baharu
Published on: Thursday, August 18, 2022
Published on: Thu, Aug 18, 2022
By: Sidney Skinner
Text Size:
Text:
Saluran pembetung dipantau sementara tunggu pam kumbahan baharu
PADA satu ketika, sebuah lori tangki kumbahan dikerahkan untuk mengepam keluar efluen.
JABATAN Perkhidmatan Pembetungan (JPP) memantau saluran pembetung di sebahagian Bandaraya sementara menunggu pam baharu dipasang di stesen pam Australia Place.

Seorang jurucakap agensi itu berkata peranti sedia ada - satu yang digunakan setiap hari, dan satu lagi sebagai sokongan - tidak berfungsi lewat bulan lalu.

Advertisement
“Banyak komponen telah beransur-ansur haus kerana pam itu mula dipasang beberapa dekad yang lalu,” katanya.

“Kami telah melantik kontraktor untuk menggantikan peranti ini dan berharap stesen itu dapat beroperasi sepenuhnya semula menjelang September.”

SPONSORED CONTENT
Cosmobeauté Malaysia and beautyexpo will expand into East Malaysia with the launch of the Cosmobeauté Malaysia Borneo Festival 2026 at the Sabah International Convention Centre (SICC) from May 25 to 26.
Apabila ditanya sama ada pam sokongan dari salah satu stesen lain Jabatan itu boleh dipindahkan buat sementara waktu ke stesen pam Australia Place, dia berkata ini tidak mungkin dilakukan.

Salah satu pam kumbahan yang rosak.

“Daripada pemerhatian kami, efluen masih mengalir, walaupun perlahan tanpa pam, disebabkan graviti.

Advertisement
“Bagaimanapun, jika pembetungan untuk mana-mana pusat komersial di sekitar stesen pam Australia Place dipenuhi melebihi muatan, maka kami akan mengatur untuk melakukan kerja enap cemar untuk bangunan yang berkenaan.”

Dia berkata kontraktor, yang ditugaskan untuk menggantikan pam-pam itu, telah diarahkan untuk memantau paras efluen dalam paip pembetungan bagi bahagian Ibu Negeri ini.

Advertisement
“Individu itu diminta membuat pemeriksaan berkala dan, jika perlu, menghantar lori tangki untuk mengepam kumbahan sekiranya parasnya menjadi masalah.”

Jurucakap itu berkata efluen dari premis sejauh Karamunsing dan Segama melalui stesen pam Australia Place ke pepasangan Jabatan di Jalan Mergastua di Likas.

Kumbahan itu kemudiannya disalurkan ke kolam pengoksidaan di Inanam, menurutnya.

Dia berkata pam-pam di bawah bidang kuasa Jabatan diselenggara setiap bulan.

Juruteknik JPP membuat penyelenggaraan di stesen pam Australia Place.

Kerosakan pam-pam di stesen pam Australia Place telah menghalang usaha Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) untuk menyelesaikan masalah tandas yang dialami oleh mereka yang tinggal dan bekerja di beberapa rumah kedai berhampiran pusat komuniti di Ibu Negeri, sekali sekala, sejak beberapa bulan lalu.

Jabatan Kejuruteraan agensi itu mempunyai sebab untuk percaya bahawa saluran pembetung di bawah Jalan KK Bypass mungkin terjejas.

Seorang jurucakap DBKK berkata kakitangannya cuba mengesahkan sangkaan mereka ini pada awal Ogos.

“Mereka merancang untuk memasukkan kamera litar tertutup (CCTV) mini melalui saluran pembetung untuk mengesahkan sama ada mana-mana paip ini, atau yang bersebelahan, rosak,” katanya.

“Bagaimanapun, usaha ini terpaksa ditangguhkan kerana masalah di stesen pam Australia Place.”

Dia berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) itu difikirkan perlu bagi memastikan pembaikan itu tidak menjadi terlalu membebankan kepada agensi itu.

“Terdapat kabel elektrik bawah tanah dan saluran paip utama air di kawasan ini.

“Kami tidak mahu mengorek sewenang-wenangnya untuk mencapai paip kumbahan sehingga merosakkan mana-mana kemudahan ini secara tidak sengaja, kerana pembaikan susulan tentu akan akan banyak menghabiskan masa dan sumber kami.”

PASUKAN penyelenggaraan DBKK malah cuba menyelesaikan masalah itu dengan memasukkan pelarut kimia ke dalam saluran pembetung.

DBKK menjawab maklum balas mengenai lurang-lurang melimpah berhampiran kedai dan kedai makan di deretan rumah kedai di Jalan Dewan.

Ramai pemilik tidak puas hati dengan bau busuk yang telah merebak ke dalam premis mereka, dari semasa ke semasa, sejak Mei. Pemilik lain pula sudah serik mendengar kesulitan yang pelanggan mereka hadapi untuk menggunakan tandas di unit mereka.

Jurucakap itu berkata agensi itu tahu mengenai masalah kumbahan di bahagian Ibu Negeri ini.

“Juruteknik kami memeriksa lurang di sekitar rumah kedai apabila perkara ini mula-mula mendapat perhatian kami pada Mei,” katanya.

“Pekerja kontraktor cuba membersihkan secara manual bahagian tersumbat di dalam saluran pembetung pada masa itu. Apabila ia gagal untuk menyelesaikan masalah itu, mereka juga cuba menuangkan pelarut kimia ke dalam saluran ini dengan harapan dapat menguraikan bahagian tersumbat. “

Dia berkata sebuah lori tangki kumbahan kemudiannya dikerahkan ke Jalan Dewan untuk mengurangkan sedikit masalah kumbahan pembayar kadar di situ.
Advertisement
Share this story
Advertisement
Advertisement
Follow Us  
           
Daily Express News  
© Copyright 2026 Sabah Publishing House Sdn. Bhd. (Co. No. 35782-P)
close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
Try 1 month for RM 18.00
open
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here