Fri, 19 Apr 2024

HEADLINES :


Pencuri pakaian dalam wanita dijel 2 tahun
Published on: Friday, August 19, 2022
By: Jo Ann Mool
Text Size:

Pencuri pakaian dalam wanita dijel 2 tahun
RIZAL (tengah) diiringi pegawai penyiasat (kanan) selepas prosiding.
Kota Kinabalu: Seorang penganggur dipenjara 24 bulan pada Khamis kerana mencuri pakaian dalam seorang wanita di kawasan perumahan yang didiaminya minggu lalu.

Muhammad Rizal Richard Abdullah, 39, mengaku bersalah di hadapan Majistret Jessica Ombou Kakayun atas pertuduhan mencuri sehelai baju tidur dan sehelai seluar dalam milik wanita itu di beranda belakang sebuah unit di Taman Puncak Menggatal, di Manggatal pada jam 1.39 pagi, 11 Ogos lalu.

Inspektor Albert Basiri, yang menjalankan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa sebelum kejadian, pengadu yang bangun pada pukul 5 pagi, pergi ke beranda belakang untuk memeriksa pakaiannya di jemuran kerana kehilangan pakaian sering berlaku di kawasan perumahan itu.

Pengadu kemudian mendapati beberapa pakaian telah dicuri dan pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV), dia melihat seorang lelaki, yang juga tinggal di kawasan perumahan sama, mengambil pakaian itu termasuk pakaian dalamnya.

Laporan polis kemudiannya dibuat oleh pengadu kerana kejadian seumpama itu telah berlaku sebanyak enam kali.

Siasatan polis mendapati, menerusi rakaman CCTV itu, pada hari tersebut lelaki yang kemudian dikenali sebagai Rizal itu, yang dilihat dalam keadaan berbogel, mengambil pakaian dalam pengadu menggunakan sebatang kayu.

Pengadu mengalami kerugian RM70, mahkamah diberitahu.

Pihak pengurusan perumahan itu turut memaklumkan kepada polis bahawa Rizal juga penduduk di situ dan pernah bekerja dengan pihak pengurusan tersebut.

Mahkamah mendengar bahawa Rizal ditahan polis pada 13 Ogos dan polis turut merampas sehelai pakaian tidur milik pengadu, serta beberapa seluar dalam termasuk satu helai milik pengadu yang dipakai Rizal ketika dia ditahan.

Rizal didakwa mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Peguam dilantik, Nabila Norsahar yang mewakili Rizal memohon hukuman ringan atas sebab, dengan mengaku bersalah tertuduh telah menjimatkan masa dan kos mahkamah.

Rizal menyesali tindakannya yang salah dan insaf kerana mencuri seluar dalam wanita serta berjanji tidak akan mengulangi kesalahan itu pada masa hadapan, kata Nabila, menambah tertuduh tidak mempunyai rekod sabitan lampau untuk kesalahan serupa kecuali pernah dipenjara kerana kesalahan berkaitan dadah.

Nabila juga memohon mahkamah mempertimbangkan latar belakang peribadi Rizal bahawa dia seorang duda dengan dua anak berusia 17 dan 14 tahun, selain dia menganggur dan keluarga menanggungnya.

Albert menggesa mahkamah menjatuhkan hukuman lebih berat sebagai pengajaran kepada Rizal memandangkan kes itu tular di media sosial dan membabitkan kepentingan awam terutama dalam kalangan wanita.

Menurut pihak pendakwaan, Rizal memakai seluar dalam pengadu ketika dia ditahan dan itu adalah perbuatan tidak bertanggungjawab kerana kejadian itu pernah berlaku beberapa kali sebelum ini di kawasan perumahan itu.

“Tertuduh telah mengakui bahawa dia dalam keadaan sedar dan waras ketika melakukan perbuatan ini dan untuk tujuan memuaskan nafsu sendiri, dan ini perbuatan yang amat memalukan lebih-lebih lagi kepada lelaki,” hujah Albert.

Mahkamah memerintahkan Rizal menjalani hukuman penjaranya dari tarikh dia ditangkap.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.





ADVERTISEMENT






Berita Utama Hari Ini

Berita Popular


Follow Us  




Follow us on             

Daily Express TV  







close
Try 1 month for RM 18.00
Already a subscriber? Login here
open

Try 1 month for RM 18.00

Already a subscriber? Login here