SEMPORNA: Lelaki yang hilang, dipercayai dibaham buaya, ketika memancing di Sungai Pegagau sekitar jam 3 petang, Ahad lepas, ditemukan meninggal dunia, pada Selasa, tiga hari selepas laporan kehilangannya dibuat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Atas Air Semporna, Faisal Ahmad berkata, mayat mangsa dikenal pasti sebagai Azman Tugau, 35, ditemukan orang awam sekitar jam 5 petang.
Menurutnya, mangsa ditemui berhampiran lokasi dia dilaporkan dibaham buaya dan mayatnya diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, katanya, operasi Mencari dan Menyelamat (SAR) yang memasuki hari ketiga pada Selasa, dimulakan jam 7.45 pagi dengan kaedah permukaan air menggunakan bot penyelamat menyusuri muara Sg Pegagau.
Susulan penemuan mangsa, operasi ditamatkan jam 5.57 petang.
Sabtu lepas, mangsa keluar memancing bersama sepupunya di Sungai Pegagau namun dia diserang buaya sekitar jam 3 petang.
Sepupu mangsa berjaya menyelamatkan diri dan melaporkan kejadian itu di IPD Semporna.