Kota Kinabalu: Seorang lelaki berusia 63 tahun didenda RM1,000 atau penjara dua bulan pada Selasa kerana mengambil bahagian dalam sesi sabung ayam haram tahun lepas.
Hilot @ Herod Giboh mengaku bersalah di hadapan Majistret Lovely Natasha Charles atas pertuduhan hadir pada sesi perlawanan haiwan itu, tanpa kebenaran atau alasan munasabah, di kawasan pondok bersebelahan sebuah rumah di Kg Gumbahan Dunvanson, Jalan Duvanson Putatan, Penampang pada 2.15 petang 22 Mei 2021.
Hilot telah melakukan kesalahan mengikut Seksyen 21 (2) Enakmen Kebajikan Haiwan 2015 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Inspektor Kelvan Elson Maik, yang menjalankan pendakwaan, memberitahu mahkamah bahawa polis yang menjalankan Ops Dadu tiba di tempat tersebut dan melihat sekumpulan lelaki berkumpul di sekitar beberapa ekor ayam sabung di situ.
Kesemua lelaki itu melarikan diri dari tempat kejadian apabila mendengar polis menjerit ‘Polis!” tetapi lima daripada mereka termasuk Hilot sempat ditahan.
Hilot, yang tidak diwakili, meminta hukuman ringan dengan mengatakan dia sedang menjaga lima anaknya.
Sementara itu, seorang lelaki berusia 44 tahun yang didakwa menyerang lelaki lain dengan tali pinggang pada tahun lepas, akan dibicarakan pada 24 Nov.
Majistret Lovely menetapkan tarikh itu untuk Musa Sumalah apabila kesnya dikemukakan untuk pengurusan kes pada Selasa.
Musa pada 19 Julai mengaku tidak bersalah menyebabkan kecederaan terhadap Jeffery Yeoh dengan tali pinggang pada pukul 12.10 pagi 29 Nov 2021 di Kompleks Perikanan Safma, Jalan Tun Fuad Stephen di sini.
Pertuduhan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan itu membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau dengan denda, atau dengan sebatan, atau mana-mana dua daripada hukuman itu, jika sabit kesalahan.
Musa diwakili peguam Arthur Borine.
Dalam kes lain, empat lelaki dijatuhi hukuman kerana memiliki syabu.
Rion Chong, Abdullah James, Ibrahim Malong dan Brendon masing-masing mengaku bersalah memiliki syabu seberat 0.09 gram, 4.31 gram, 0.02 gram dan 0.03 gram di lokasi berasingan di Inanam, Sembulan, dan Penampang antara 1 Sept 2021 dan 22 Jun tahun ini.
Chong dipenjara 12 bulan mulai Selasa, Abdullah dipenjara setahun enam bulan dari tarikh tangkap.
Ibrahim dijatuhi hukuman penjara 11 bulan manakala Brendon didenda RM2,700 atau penjara 10 bulan.
Mereka masing-masing didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.