Kota Kinabalu: Tiga lelaki masing-masing dipenjara dan dikenakan sebatan kerana mengulangi kesalahan mengambil dadah.
Mereka ialah Mohd Azemey Jakaria, Azman Sham Lakim dan Mohd Faizal Mohd Daud.
Mohd Azemey mengaku bersalah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Azreena Aziz, atas pertuduhan terhadapnya dan dipenjara lima tahun serta dikenakan satu sebatan.
Dia ditangkap pada 5 Julai tahun ini selepas air kencingnya diuji positif dadah di balai polis Penampang, dan dia mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah itu.
Mahkamah memerintahkan Mohd Azemey menjalani hukuman penjara itu dari tarikh dia ditangkap dan diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun selepas hukuman penjaranya selesai.
Sementara itu, Azman dan Mohd Faizal mengaku secara berasingan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Ummu Khaltom Abdul Samad.
Azman dijatuhi hukuman lima tahun dan dikenakan tiga sebatan, manakala Mohd Faizal dipenjara lima tahun dan dikenakan satu sebatan.
Azman ditahan pada 13 Julai dan Mohd Faizal pada 12 Jun tahun ini selepas air kencing masing-masing diuji positif dadah di balai polis di sini.
Kedua-dua mereka mempunyai beberapa rekod sabitan kerana mengambil dadah.
Azman dan Mohd Faizal turut diperintah menjalani hukuman penjara itu dari tarikh mereka ditangkap.
Selepas menjalani hukuman penjara, mahkamah memerintahkan Azman dan Mohd Faizal masing-masing diletakkan di bawah pengawasan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.
Ketiga-tiga mereka melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 39C (1) Akta Dadah Berbahaya 1952, yang memperuntukkan hukuman penjara antara lima dan tujuh tahun, dan sebatan, jika sabit kesalahan.