Kota Kinabalu: Seorang pesara kerajaan di sini mengalami kerugian lebih RM300,000 selepas menjadi mangsa terbaru Macau Scam.
Ketua Polis Daerah DSP Kamaruddin Ambo Sakka (gambar) berkata, kejadian berlaku selepas pesara berusia 62 tahun itu menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada nombor tidak dikenali pada 17 Ogos lalu kira-kira jam 9.07 pagi menyatakan dia telah membuat pembelian dalam talian.
Menurut Kamaruddin, mangsa kemudian menghubungi nombor yang diberikan dan dilayani oleh orang tidak dikenali – menyamar sebagai pegawai bank – yang kemudiannya meminta semua maklumat akaunnya.
“Mangsa kemudian berkongsi semua maklumat banknya bersama Kod Kebenaran Transaksi (TAC) yang diterimanya kepada orang itu.
“Pada 20 Ogos, dia menyedari wang simpanannya bernilai RM352,050 telah dipindahkan ke akaun pihak ketiga oleh penipu tanpa pengetahuannya,” katanya.
Kamaruddin berkata polis telah menjalankan siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan selepas mangsa membuat laporan polis pada malam Selasa lepas.
Beliau menggesa orang ramai supaya berwaspada terutama apabila menerima mesej atau panggilan daripada nombor tidak dikenali terutama bagi mereka yang menyamar pegawai bank atau kakitangan kerajaan.
Beliau juga menggesa orang ramai menghubungi pihak berkuasa sekiranya transaksi tidak dibenarkan telah diminta untuk dibuat melalui akaun mereka.
“Orang ramai juga perlu berwaspada dengan modus operandi penipu bagi mengelak kejadian seperti itu berulang,” katanya.