Kota Kinabalu: Perbicaraan terhadap tiga bekas pelajar sebuah sekolah menengah di Kota Belud yang menyaman seorang guru, Kerajaan, Menteri Pendidikan dan dua lagi kerana enggan mengajar subjek Bahasa Inggeris (BI) kepada tiga pelajar itu tiga tahun lalu, bermula pada Isnin di Mahkamah Tinggi.
Perbicaraan saman Rusiah Sabdarin, Nur Natasha Allisya Hamali dan Calvina Angayung, yang kini berusia 21 tahun, didengar di hadapan Hakim Leonard David Shim.
Ketiga-tiga mereka menamakan guru Mohd Jainal Jamrin, Hj Suid Hj Hanapi (atas kapasitinya sebagai pengetua SMK Taun Gusi), Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Menteri Pendidikan Malaysia dan Kerajaan Malaysia sebagai defendan.
Antara lain, mereka mendakwa guru itu gagal hadir ke kelas untuk mengajar subjek itu selama tujuh bulan pada 2015 manakala defendan lain tidak mengambil tindakan munasabah walaupun telah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Saksi pertama dalam perbicaraan itu ialah Nurul Afirah Zainal Abidin, 20, bekas rakan sekelas ketiga-tiga mereka, berkata ‘Mr JJ’ (defendan pertama) adalah guru bahasa Inggerisnya semasa dia di Tingkatan Empat Sains Sukan di SMK Taun Gusi, Kota Belud.
Menurut Nurul, Mr. JJ jarang masuk ke kelas dan apabila tiada di dalam kelas, tiada guru akan menggantikannya.
“Mr JJ kadang-kadang masuk kelas tapi sekejap sahaja.
“Semasa di dalam kelas, Mr JJ tidak peramah dan selalu marah-marah. Saya boleh membandingkan tingkah lakunya dengan pelajar di kelas lain, contohnya dengan kelas Tingkatan Empat Prinsip Akaun yang bersebelahan dengan kelas kami. Dia mesra dengan pelajar.
“Ada satu ketika, kami memanggil Mr. JJ untuk masuk ke kelas kami tetapi dia memberitahu kami (dia) ada urusan lain dan dia tidak boleh masuk ke kelas kami,” kata Nurul yang kini bekerja sebagai penyelia gudang.
Nurul juga berkata dalam kenyataan saksinya bahawa dia dan rakan sekelasnya telah mengadu isu tentang Mr JJ kepada Cikgu Shamsul dan Siti Kamisa yang merupakan guru kelas dan penolong guru kelas mereka, tetapi guru-guru itu berkata biarkan sahaja perkara itu dan mereka enggan campur tangan dalam urusan Mr JJ.
Saksi itu juga berkata bahawa rakan sekelasnya juga mengadu perkara itu kepada Pengetua mereka ketika itu tetapi masih tiada tindakan diambil oleh pihak sekolah.
Nurul seterusnya berkata, dia mendapat gred D atau E untuk keputusan mata pelajaran Bahasa Inggeris untuk peperiksaan akhir semasa berada di Tingkatan Empat dan mendapat gred D untuk SPM.
Menurut Nurul, dia kurang pengetahuan dalam mata pelajaran Bahasa Inggeris disebabkan ketidakhadiran Mr. JJ untuk mengajar subjek itu dan berkata Mr. JJ turut memberikan soalan bocor semasa peperiksaan Tingkatan Empat.
Saksi kedua ialah Suriana Mohammad Salleh, 21, juga rakan sekelas plaintif, berkata Mr. JJ seorang guru yang baik kepadanya tetapi dia sangat kecewa dengan Mr. JJ apabila dia tidak memasuki kelas mereka selama tujuh bulan.
Suriana dalam kenyataan saksinya berkata, kelasnya tidak mempunyai sebarang masalah disiplin kerana semua rakan sekelasnya berkelakuan baik semasa Mr. JJ mengajar di kelas mereka.
Dia seterusnya berkata dia dan rakan-rakannya telah mengadu tentang ketidakhadiran Mr. JJ dalam kelas mereka kepada tiga guru mereka yang lain tetapi guru-guru telah menasihati mereka supaya belajar sendiri.
Suriana menyatakan pada 31 Oktober 2017, dia dan plaintif ketiga Calvina telah berjumpa dengan Cikgu Awang Erawan untuk membangkitkan perkara berkenaan Mr. JJ dan ketika itu Calvina telah merakam perbualan mereka menggunakan GoPro.
“Semasa perbualan itu, Cikgu Awang telah memberitahu kami bahawa Mr. JJ tidak masuk kelas pernah berlaku sebelum ini dan dia berkata tidak mahu Mr. JJ dikenakan tindakan tatatertib.
“Kami juga ada rakaman perbualan kami dengan Cikgu Johari mengenai aduan kami.
“Cikgu Johari juga ada menyebut bahawa Mr. JJ sudah lama berkelakuan seperti itu dan katanya mereka sudah menghubunginya.
“Kami memang berjumpa Cikgu Rohana yang kemudian memberitahu tiada tindakan boleh dilakukan terhadap Mr. JJ walaupun dia tidak masuk ke kelas. Dia memberi contoh kepada kami bahawa Cikgu Awang yang tidak masuk kelas selama setahun tetapi tindakan yang perlu diambil hanya memotong gajinya.
“Cikgu Rohana menasihati kami supaya belajar sendiri dan tidak bergantung kepada guru,” kata Suriana dalam kenyataan saksinya.
Suriana berkata semua perbualan dengan guru yang mereka temui untuk mengemukakan aduan mengenai Mr JJ telah dirakam dengan GoPro.
Keempat-empat plaintif diwakili peguam Roxana Jamaludin, Shireen Sikayun, Jubili Anilik dan Dominic J Omok manakala Peguam Kanan Persekutuan Mohd Hafizi Abdul Halim dan Peguam Persekutuan Fazriel Fardiansyah Abdul Kadir bagi defendan.
Perbicaraan akan disambung 23 September ini.